Malaysia Dateline

Kerajaan digesa umum peruntukan PPE kepada setiap hospital

Aminolhuda (dua dari kiri) ketika menyampaikan sumbangan ‘face shield’ ke Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat Johor.

Kerajaan hari ini digesa untuk mengumumkan berapakah peruntukan yang telah diberikan kepada setiap hospital yang merawat pesakit Covid-19 di Johor.

Mengulas lanjut perkara itu, Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Johor, Aminolhuda Hassan berkata, perkara itu penting kerana ia dapat menjelaskan kepada rakyat berkenaan dengan keselamatan ‘frontliner’ yang bertugas merawat pesakit.

Katanya, barisan yang berhadapan dengan pesakit mesti menjadi prioriti terpenting kerana ia melibatkan nyawa bagi barisan tersebut.

“Kita mengharapkan agar kerajaan mengumumkan berapa banyakkah kelengkapan yang telah diagihkan kepada hospital di seluruh negeri Johor sehingga ada yang masih menjahit sendiri kelengkapan ‘Personal Protection Equipment (PPE) tersebut.

“Selain itu, kerajaan perlu memandang berat dengan keadaan ini kerana ia membabitkan soal keselamatan ‘frontliner’ yang bertugas merawat pesakit apatah lagi mereka yang terkena jangkitan Covid-19.

“Prioriti mereka yang berkerja di barisan hadapan adalah merawat pesakit bukan sebagai tukang jahit yang terpaksa menjahit kelengkapan keselamatan mereka sendiri,” katanya ketika dihubungi.

Beliau yang merupakan mantan Exco Pendidikan, Kesihatan dan Sumber Manusia berkata apa yang tular sebelum ini berkenaan dengan pekerja hospital yang terpaksa menjahit PPE mereka sendiri akan menjadikan rakyat resah dengan tahap penyediaan pasukan perubatan.

Selain itu katanya, kerajaan juga harus mempertimbangkan soal pemberian PPE kepada ‘frontliner’ yang lain seperti penguatkuasa polis yang terdedah dengan risiko jangkitan Covid-19 ketika berhadapan dengan mayat atau sebaliknya.

“Semalam tular isu berkenaan dengan kekurangan pakaian PPE di hospital sekitar Johor Bahru dan ini telah menyatakan bahawa berlaku kepincangan dengan kenyataan sebelum ini yang menyatakan bahawa PPE itu mencukupi.

“Terdapat juga aduan yang disampaikan kepada saya berkenaan dengan PPE yang tidak disediakan bagi pihak berkuasa seperti polis yang terpaksa berhadapan dengan mayat atau mereka yang dijangkiti Covid-19 tersebut.

“Kita juga memohon agar syarikat pembekal kelengkapan PPE ini jangan mengambil keuntungan seperti menangguk di air yang keruh. Kerajaan juga terpaksa mengambil langkah cermat berbelanja dalam usaha bersama menangani isu Covid-19 ini,” katanya lagi

Dalam pada yang sama, Aminolhuda telah memberikan sumbangan ‘face shield’ sebanyak 300 set ke Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat Johor.