Kerajaan digesa wujudkan pelan pengurusan pelarian

Kerajaan digesa wujudkan pelan pengurusan pelarian

Pemuda AMANAH Nasional mengutuk sekeras-kerasnya tindakan zalim dan tidak bertamadun kerajaan Myanmar ke atas etnik Rohingya.

Menurut ketuanya Mohd Sany Hamzan, dunia termasuklah kerajaan Malaysia perlu terus konsisten mengutuk tindakan zalim itu.

Dalam masa yang sama, kuasa yang ada pada kerajaan perlu digunakan bagi menzahirkan sikap Malaysia yang menolak apa jua bentuk kezaliman dan ketidakadilan lebih-lebih lagi Myanmar terletak tidak jauh daripada negara ini.

Tindakan zalim kerajaan pimpinan Aun San Su Kyi ini menyebabkan umat Islam Rohingya terpaksa lari menyelamatkan diri ke perairan negara berdekatan termasuklah Bangladesh, Indonesia, India dan Malaysia sendiri.

“Tindakan kerajaan menerima pelarian ini demi menyelamatkan nyawa mereka sangat disokong kerana ia adalah tuntutan yang diperintahkan oleh Allah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Undang kerisauan

Namun begitu, beliau berkata, kehadiran pelarian ini mengundang kerisauan rakyat Malaysia.

Ini katanya dapat dilihat menerusi laman sosial apabila rata-rata melahirkan kegusaran terhadap keselamatan negara apabila membenarkan pelarian masuk walaupun secara kemanusiaannya sangat mengakui akan kepentingan untuk membantu mereka yang sedang diuji.

Sany berkata, kebimbangan yang disuarakan rakyat ini perlu diambil perhatian serius oleh kerajaan dengan melihat kepada faktor-faktor yang diberikan antaranya termasuklah soal keselamatan negara, keharmonian rakyat, dan persaingan hidup seharian.

“Kebimbangan-kebimbangan ini mempunyai kewajarannya dengan melihat kepada keadaan semasa pelarian di dalam negara ini. Pelarian Rohingya khususnya sangat bermaharaja lela di dalam negara dan bebas menjalani kehidupan setaraf dengan warganegara biarpun tidak mempunyai taraf kerakyatan.

“Bagi netizen, etnik Rohingya yang dilihat bermaharajalela di dalam negara ini disebabkan kegagalan kerajaan memainkan peranannya seperti sepatutnya,” katanya.

Tiada garis panduan

Menurut beliau juga, kerajaan bersama dengan sikap serta keprihatinan rakyat Malaysia terhadap Rohingya, namun dalam masa yang sama tidak mempunyai perancangan yang jelas dalam mengurus pelarian ini.

“Malaysia seolah-olah tidak mempunyai garis panduan yang efisyen dalam menguruskan pelarian ini menyebabkan ramai yang terabai.

“Tidak kurang juga yang menduduki negara dengan seperti negara mereka sendiri akibat kebebasan yang diberikan,” katanya lagi.

Hal ini menurutnya, mendorong berlakunya penguasaan etnik tersebut di tempat-tempat awam seperti Pasar Borong Selayang yang sering disuarakan oleh netizen dan masyarakat setempat.

“Luahan masyarakat ini perlu diambil perhatian, ada pun kita mengakui akan kepentingan kita untuk membela nasib umat Islam Rohingya ini.

Justeru, Pemuda AMANAH Nasional menggesa kerajaan menyediakan pelan strategi yang efisyen dalam usaha menguruskan pelarian ini dengan baik.

“Ini sangat penting bagi memastikan tidak berlaku penindasan dan ketidakadilan terhadap rakyat Malaysia dan pelarian itu sendiri.

“Dalam hal ini, kami mencadangkan pihak kerajaan mengambil contoh negara-negara yang menerima pelarian termasuklah Turki dan Indonesia itu sendiri. Kami sangat yakin, dengan mewujudkan pelan pengurusan ini, masalah yang berbangkit berjaya diselesaikan.

Sehubungan itu, Pemuda AMANAH Nasional menggesa satu persidangan khas parlimen Malaysia bagi membincangkan isu yang melibatkan Rohingya.

“Kita sebagai negara jiran Myanmar perlu menzahirkan sikap yang lebih serius terhadap kezaliman yang tidak berkesudahan ini.

“Dalam masa yang sama kita dapat berbincang secara menyeluruh berkaitan pelan pengurusan pelarian yang kami cadangkan ini,” katanya.

CATEGORIES
TAGS