Malaysia Dateline

Kerajaan diharap tidak berlebihan mahu jadi terbaik tangani Covid-19

Tokoh wartawan veteran, Datuk Abdul Kadir Jasin berharap kerajaan tidak berlebihan dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19 sehingga menjejaskan ekonomi negara ini.

Menurutnya, pilihan harus dibuat antara mengatasi pandemik tersebut dan kematian kerana kelaparan.

“Covid-19 membunuh tetapi kelaparan dan kekurangan zat makanan juga membunuh.

“Saya harap pemerintah tidak akan berlebihan untuk menjadi yang terbaik di dunia dalam menangani wabak ini,” katanya hari ini.

Penasihat Komunikasi dan Media kepada bekas Perdana Menteri interim itu berkata, rakyat harus kembali bekerja dan menjalani kehidupan yang normal agar ekonomi tidak kehilangan momentum sama sekali.

“Kita tidak boleh membiarkan rasa takut terhadap wabak ini menjadi tidak rasional. Kita mesti praktikal.

“Sudah banyak rakyat Malaysia menjadi miskin dan syarikat berada di ambang kemuflisan,” dipetik dari Facebook beliau.

Sehubungan itu, Kadir mengingatkan agar tidak terus bereaksi terhadap statistik kesihatan sahaja sebaliknya mempertimbangkan keseluruhan spektrum kehidupan dan kelangsungan hidup.

“Perintah berkurung selanjutnya membahayakan asas kesejahteraan sosioekonomi kita,” tambahnya lagi.