Malaysia Dateline

Kerajaan dijangka tidak akan pecat Nga Kor Meng

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Datuk Mohamad Ariff Md Yusof dan timbalannya Nga Kor Meng dijangka akan dikekalkan jawatan masing-masing dalam sidang pada 18 Mei ini bagi mengelakkan sebarang pengundian dalam dewan itu.

Demikian pandangan petugas veteran Parlimen, Abdul Malek Hussin dalam satu tulisan di facebook.
beliau.

ABD MALEK HUSSIN

Pegawai Khas hal ehwal Parlimen kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim itu berkata, andaian ini dibuat berdasarkan apa yang sedang cuba dielakkan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang sehingga menetapkan sidang hanya satu hari sahaja.

Menurut Malek, Mohamad Ariff dan dua timbalannya dipilih dalam Dewan Rakyat pada 16 Julai 2018 dan memegang jawatan hingga kini.‬

‪”Aku fikir, Kerajaan tidak akan mengemukakan usul untuk menggantikan Speaker dan Timbalannya dari DAP, Nga Kor Ming. ‬

‪”Jika terdapat usul demikian, ia akan menjadi urusan pertama dalam Aturan Urusan Mesyuarat pada 18 Mei dan tentunya akan dicabar oleh pembangkang, dan akan menjuruskan pengundian.‬

‪”Kerajaan mencari nahas jika berlaku pengundian. Jika usul penggantian Speaker atau Timbalan Speaker ditolak dengan pengundian belah bahagian, ia membuktikan awal-awal lagi Kerajaan tidak ada majoriti dalam Dewan Rakyat.‬

‪”Maka, aku fikir kerajaan akan kekalkan Speaker dan Timbalan-Timbalannya yang sedia ada,” kata Malek yang bertugas berpuluh-puluh tahun dengan Anwar dan isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail di Parlimen itu.

Parlimen akan bersidang selama 1 hari pada hari Isnin, 18 Mei 2020 di mana Yang Di-Pertuan Agong akan menyampaikan Titah Diraja di istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga, Parlimen Keempat Belas.‬

ISU-ISU UTAMA

‪Selepas itu, katanya, terdapat beberapa isu yang menarik perhatian:‬

‪◾️Kedudukan Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Timbalan-Timbalannya‬
‪◾️Perbahasan Titah Diraja‬
‪◾️Jawatan Ketua Pembangkang‬
‪◾️Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2020‬

Menurut Malek, menjadi tradisi dan kelaziman Dewan Rakyat, Titah Diraja akan disusuli dengan Usul Menjunjung Kasih yang akan dicadangkan oleh Ahli Parlimen penyokong kerajaan. ‬

‪Usul Titah Diraja itu kemudiannya akan terbuka kepada perbahasan selama beberapa hari dan menteri-menteri perlu menjawab isu-isu yang berbangkit.‬

‪Katanya, dalam hal ini, Kerajaan mempunyai sekurang-kurangnya dua pilihan.‬

‪Pertamanya, Kerajaan tidak membenarkan Usul Titah Diraja dibahaskan langsung dalam sidang Mesyuarat Pertama pada 18 Mei, sebaliknya ditangguhkan kepada sidang Penggal Kedua pada bulan Julai.‬

‪Keduanya, Kerajaan akan hanya membenarkan Usul Titah Diraja dibahaskan oleh dua Ahli Parlimen sahaja, iaitu pencadang (penyokong Kerajaan) dan Ketua Pembangkang. Kemudian sidang ditangguhkan untuk menyambung perbahasan Titah Diraja pada bulan Julai.‬

‪”Ini cara Kerajaan sekarang untuk mengelakkan akauntabiliti kepada Parlimen,” dakwa beliau.‬

‪Dalam pada itu, Malek yakin, Anwar Ibrahim akan kembali semula menjadi Ketua Pembangkang dengan sokongan padu semua Ahli-Ahli Parlimen pembangkang. ‬

‪”Aku tidak fikir, akan ada cadangan lain. Tak mungkin Dr Mahathir Mohamad akan menjadi Ketua Pembangkang, kerana tidak munasabah dan tidak pernah terjadi dalam mana-mana Parlimen di dunia, Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang adalah daripada parti yang sama.

“Kecualilah Mahathir atau Muhyiddin dipecat dari PPBM sebelum Parlimen bermula,” kata beliau.‬

‪Katanya, dari segi bilangan sokongan dari pembangkang kini, tak berbangkit siapa lagi akan menjadi Ketua Pembangkang, kecuali Anwar Ibrahim.‬

RUU PERBEKALAN TAMBAHAN

‪Kerajaan juga, katanya, akan tentunya perlu membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan Tambahan untuk bacaan pertama pada 18 Mei 2020.

RUU ini bertujuan untuk meluluskan dana awam yang digunakan untuk Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat yang telah diumumkan pada 27 Mac 2020. ‬

‪”Kerana ia suatu RUU Perbekalan Tambahan, menurut Peraturan Mesyuarat 67(5) ia perlu kepada perbahasan bagi bacaan kedua selama dua hari dan tidak melebihi tiga hari seperti menurut Peraturan Mesyuarat 67(7)(a),” tulisnya.‬

‪Katanya, menurut Peraturan Mesyuarat 67(2), Kerajaan perlu bentangkan anggaran belanja tambahan itu di atas Meja Mesyuarat sekarang-kurangnya tiga hari sebelum persidangan mengenai RUU Perbekalan Tambahan itu.

Dalam konteks sidang pada 18 Mei, anggaran belanja tambahan itu perlu dibentangkan selewat-lewatnya pada 15 Mei, kata beliau.‬

‪”Aku fikir, isu pembentangan anggaran belanja tambahan boleh diatasi oleh Kerajaan. Tetapi, aku tidak nampak, Kerajaan akan membenarkan perbahasan RUU Perbekalan Tambahan pada 18 Mei atas alasan sidang hanya 1 hari. Perbahasannya tentu ditangguhkan ke bulan Julai,” katanya lagi.‬

‪Selain itu, Malek menjangkakan beberapa tindakan akan dibuat oleh kerajkaan semasa sidang kali ini antaranya:‬

‪▪️Kerajaan akan mengelak perbahasan penuh Usul Menjunjung Kasih Atas Titah Diraja‬

‪▪️Kerajaan akan mengelak perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2020‬

‪▪️Kerajaan akan mengelak sebarang pengundian belah bahagian mengenai apa-apa urusan dalam Dewan‬

‪▪️Kerajaan akan menangguhkan Mesyuarat dengan sesegera mungkin untuk mengelak kebertanggungjawaban Urusan Kerajaan sepenuhnya kepada Parlimen.‬

‪”Apakah ini petanda Kerajaan PN tidak memiliki majoriti untuk dibuktikan dalam Dewan Rakyat?‬

‪”Hakikatnya, Kerajaan PN kini belum membuktikan legitimasinya dalam Parlimen,” kata beliau.