Malaysia Dateline

Kerajaan dijangka umum skim untuk sektor pertanian dalam RMK12, kata MIDF Research

Program dan insentif khusus bagi sektor pembuatan berkaitan makanan dan pertanian dijangka akan terkandung dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), menurut MIDF Research.

Firma penyelidikan itu berkata inisiatif berkenaan akan menggalakkan pemain industri makanan untuk melaksanakan konsep pertanian pintar seperti diperjuangkan oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO).

“Selain RMK12, kami melihat strategi yang meluas bagi sektor makanan untuk diperincikan dalam Dasar Agro Makanan 2021-2030 dan Pelan Induk Perindustrian Keempat 2021-2030,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

RMK12 dijangka dibentangkan pada Ogos depan.

Pertanian pintar adalah konsep pengurusan pertanian yang menggunakan teknologi moden seperti GPS, pengimbasan tanah, pengurusan data dan teknologi IoT untuk meningkatkan kuantiti dan kualiti produk pertanian.

MIDF Research berkata peningkatan bekalan produk makanan domestik akan menyusutkan defisit perdagangan makanan negara, mengurangkan inflasi makanan dan mewujudkan industri bernilai tambah tinggi terhadap keseluruhan ekonomi.

Menurutnya defisit perdagangan pertanian yang meningkat disumbangkan oleh kenaikan import makanan, yang mencerminkan permintaan domestik yang kukuh.

“Ikan, daging, sayur dan buah merupakan antara produk makanan yang mencatat permintaan tinggi, mencatat wajaran indeks harga pengguna yang lebih tinggi berbanding produk lain,” katanya.

Kajian pada 2019 menunjukkan sayur-sayuran dan buah-buahan adalah penyumbang terbesar kepada defisit perdagangan iaitu RM6 bilion, diikuti bijirin, daging, gula dan madu, masing-masing sebanyak RM5.0 bilion, RM2.9 bilion dan RM2.5 bilion.

Katanya, kemampuan untuk membeli makanan adalah isu paling penting bagi mengurangkan kos sara hidup yang tinggi.

Masalah tersebut turut dipengaruhi oleh produk makanan yang kebanyakannya diimport dan terdedah kepada pergerakan mata wang, di mana sedikit penyusutan ringgit akan memberi kesan terhadap harga makanan dan menyebabkan tekanan inflasi, katanya.

Menurutnya sumbangan sektor pertanian kepada keluaran dalam negara kasar tidak berubah antara lapan hingga 10 peratus sejak 2005, manakala sektor utama berkembang pada kadar sederhana dengan penekanan yang lebih tinggi kepada sektor minyak sawit.

MIDF Research berkata sektor pembuatan makanan tumbuh pada kadar yang lebih tinggi berbanding keseluruhan sektor pembuatan.

Dengan mengambil kira pertumbuhan yang kukuh, sektor pertanian mempunyai peluang mencukupi untuk berkembang khususnya pada pasca 2020 berikutan penawaran daripada sektor utama masih kurang bagi memenuhi permintaan yang meningkat dalam sektor pembuatan,” katanya.

Buat masa ini, tumpuan yang lebih tinggi ke atas sektor pertanian akan memanfaatkan sektor pembuatan memandangkan ia merupakan pengganda bernilai tambah tinggi di Malaysia selepas sektor perlombongan dan perkhidmatan.

“Kami menjangka industri perikanan dan akuakultur antara yang akan menjadi tumpuan utama bagi strategi pertanian nasional Malaysia dalam jangka panjang. Ini akan meredakan peningkatan harga ikan,” menurut firma penyelidikan itu.

Usaha untuk menyemarakkan lagi industri pertanian akan memperkukuh sekuriti makanan negara dan menyokong aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, katanya.– BERNAMA