Kerajaan diminta kaji sistem Insentif Penoreh Getah, bela nasib penoreh

Kerajaan diminta kaji sistem Insentif Penoreh Getah, bela nasib penoreh

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) kini sudah boleh melaksanakan tanggungjawab bagi membela nasib penoreh getah apabila sistem Insentif Penoreh Getah atau IPG dikaji semula selepas menerajui kepimpinan kerajaan Persekutuan.

Demikian disuarakan oleh Pengarah Biro Tanah, Pertanian, dan Luar Bandar AMANAH Negeri Kedah, Sulaiman Ibrahim.

Menurut beliau lagi, adalah menjadi harapan supaya penetapan harga lantai getah sekerap antara RM3 hingga RM4 sekilogram.

“Tidak dapat dinafikan bahawa tindakan ini akan memberi impak kepada kewangan negara sebanyak RM1.29 bilion setahun.

“Pertambahan peruntukan mungkin memerlukan sumber kewangan yang tinggi bagi menyokong penetapan harga lantai getah seandainya harga getah asli dunia mengalami trend penurunan mendadak.

“Mengikut ‘board of list’ harga getah dunia, ia tidak menunjukkan perubahan yang begitu ketara, ” jelas Sulaiman lagi.

Sulaiman Ibrahim

Malah katanya, negara ini tidak perlu bergantung import kepada negara China, sebaliknya boleh mencari pasaran baru dan memperbaiki kelemahan sistem kerajaan BN terdahulu.

Beliau yang juga merupakan Ketua AMANAH Kawasan Sik turut berkata, terdapat cara yang lebih sistematik diantara keuntungan pada kerajaan, peraih dan penoreh getah.

“Sebelum ini terdapat dakwaan daripada kerajaan terdahulu bahawa perletakan harga lantai akan menyediakan ruang bagi aktiviti penyeludupan getah dari luar negara.

“Ini adalah kerana Malaysia terikat dengan perjanjian ITRC melibatkan tiga buah negara pengeluar getah bertaraf dunia iaitu Malaysia, Thailand dan Indonesia.

“Tidak akan timbul isu penyeludupan sekiranya sistem yang dilaksanakan diperbaiki dalam segenap peringkat dan kategori, ” ujarnya lagi.

Tegas beliau lagi, diantara kaedah yang boleh dilaksanakan bagi meningkatkan harga getah ialah menyelesaikan harga getah tempatan SMR20 yang bermutu tinggi setanding dengan harga getah antarabangsa.

“Bagi mewakili suara penoreh getah yang berpendapatan rendah, kebajikan penoreh getah harus diberi perhatian serius.

“Ia harus dilaksanakan melalui pelaksanaan perletakan harga lantai getah serta mengkaji semula pemberian IPG sejak 2015 yang lalu.

“Sebelum ini IPG yang telah diperkenalkan oleh kerajaan BN ialah purata harga bulanan SMR20 pada bulan sebelumnya kurang RM5.50 sekilogram atau harga diperingkat ladang bagi getah sekerap adalah dibawah RM2.20 sekilogram, ” tambahnya lagi.

Sulaiman turut berkata, sejumlah 545,175 permohonan tuntutan telah diluluskan oleh kerajaan terdahulu bagi tujuan pengagihan IPG membabitkan peruntukan sebanyak RM68.9 juta.

Katanya lagi, sistem agihan IPG yang dilaksanakan sebelum ini harus diperbaiki semula oleh kerajaan baru yang menerajui kepimpinan kini.

“Mekanisma pelaksanaan sistem harga lantai getah adalah berkait rapat dengan produktiviti.

“Semakin tinggi pengeluaran maka semakin banyak insentif yang bakal diperolehi oleh pekebun kecil getah.

“Seandainya harga kadar semasa sekilogram ialah RM2.20 dengan kandungan getah kering sebanyak 50 peratus, ianya tidak akan membolehkan pekebun kecil getah tersebut keluar dari masalah kemiskinan, ” tegasnya.

Bahkan katanya, bukan semua pekebun kecil getah atau pun penoreh getah mampu memperolehi pendapatan purata sejumlah RM1,100 sebulan.

Sebaliknya ujar Sulaiman, majoriti daripada mereka hanya mampu memperolehi pendapatan bawah RM500 sebulan jika mengikut takrif harga getah semasa.

7.5
OVERALL SCORE
: 10.0
1 user vote x 5.0
CATEGORIES
TAGS