Malaysia Dateline

Kerajaan diminta kongsi langkah negara China kawal COVID-19

Datuk Dr Hatta Ramli (PH-Lumut) meminta agar kerajaan berkongsi dengan rakyat tentang langkah dilaksanakan negara China yang boleh dianggap ‘sukses’ mengawal Covid-19 selepas melaksanakan perintah berkurung secara total di negara itu.

Dalam ucapan perbahasannya hari ini, beliau berkata, kerajaan perlu mempelajari dari kejayaan negara tersebut yang ketika ini hanya mencatat jumlah jangkitan yang rendah sebanyak 22 kes hari ini.

Menurutnya, dengan jumlah populasi sebanyak 1.4 bilion di China, peningkatan jumlah tersebut adalah kecil.

“Sehingga April, mereka sudah stabil dengan lebih kurang 83,000 kes. Ada pertambahan hari-hari tetapi dengan populasi 1.4bilion dan pertambahan 22 kes adalah tersangat kecil. Sukses story ada di China. Mereka dapat menangani begitu cantik.

“Saya bertanya pada KKM, apakah yang boleh dipelajari daripada China? Kita terima lawatan daripada pakar-pakar China, apakah hasil perkongsian maklumat yang kita dapat dari mereka. Adakah mereka mempunyai rawatan cara baru atau sudah ada vaksin?

“Merujuk kepada kes yang berlaku di Amerika Syarikat pula, semalam sahaja catat lebih 65,000 kes. Di mana kekurangannya supaya kita dapat belajar dan dapat elakkan,” katanya.

Bagaimanapun, Hatta mengakui pentingnya agar kerajaan terutama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memahami bahawa peperangan melawan pandemik Covid-19 perlu dilaksanakan mengikut strategi yang betul, pada masa dan ‘dose’ yang tepat.

Beliau berkata demikian yang bersetuju dengan cadangan Datuk Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) bahawa sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan lebih awal, maka negara akan mengalami impak ekonomi yang teruk.

Selain itu, bekas Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan itu turut mencadangkan agar kerajaan menjalankan kajian-kajian berhubung sama ada sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, ianya telah menyumbang kepada tekanan mental.

Jelasnya, Kementerian perlu menjalankan kajian bagi mendapatkan statistik kesan pandemik kepada tahap kesihatan mental rakyat Malaysia terutama kepada mereka yang terjejas.

Dengan itu katanya, barulah kerajaan boleh menimbangkan sama ada signifikan atau tidak untuk menambah pelaburan bagi menangani masalah tekanan mental yang mungkin berpunca daripada kesan hilang pekerjaan dan terpaksa duduk di rumah dalam waktu yang lama.

Beliau berkata demikian yang mengulas cadangan Datuk Seri Iskandar Mohd Akin (PH-Hang Tuah Jaya) hari ini.