Malaysia Dateline

Kerajaan diminta perkenal pakej rangsangan fiskal khas sektor pembinaan

Kerajaan diminta memperkenalkan pakej rangsangan fiskal khas untuk sektor pembinaan bertujuan meningkatkan projek infrastruktur dalam pelbagai skala seluruh negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil berkata, projek-projek tersebut harus dikemudi oleh syarikat-syarikat tempatan dalam usaha untuk meningkatkan sentimen perniagaan sektor pembinaan negara.

Beliau mencadangkan, pihak kerajaan boleh mengkaji cara untuk memberikan pembiayaan faedah rendah kepada syarikat-syarikat pembinaan tempatan supaya dapat membida kontrak-kontrak di bawah pakej rangsangan ini pada kos yang rendah.

Katanya, suntikan dana tambahan daripada kerajaan amat diperlukan pada ketika ini yang bertujuan menyuburkan kembali pertumbuhan ekonomi negara yang terjejas dengan ketidaktentuan makroekonomi di luar negara.

“Ini selaras dengan falsafah ekonomi Keynes yang menyebut bahawa, kerajaan harus mewujudkan permintaan dalam pasaran menerusi perbelanjaan fiskal untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi.

“Sektor pembinaan merupakan salah satu bidang yang penting untuk ekonomi nasional dan mempunyai ‘multiplier effect’ yang tinggi, di mana boleh mewujudkan peluang perniagaan, pekerjaan dan pada masa yang sama, memperbaiki kemudahan awam untuk kebaikan rakyat.

“Dalam kita melangkah ke tahun 2020, kita akan menyaksikan pemberian pelbagai kontrak untuk projek-projek infrastruktur negara berskala besar.

“Justeru itu, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu memastikan syarikat-syarikat tempatan dan rakyat Malaysia menjadi penerima manfaat atau ‘beneficiary’ terbesar projek-projek ini pada masa hadapan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Faiz yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional memaklumkan bahawa beliau memandang berat terhadap komen yang dikeluarkan Pengarah Urusan Gamuda Bhd, Datuk Lin Yun Ling, baru-baru ini.

“Beliau (Yun Ling) menyatakan bahawa lebih separuh daripada projek-projek pembinaan berskala besar di Malaysia dikuasai oleh syarikat-syarikat milik Kerajaan China atau ‘state-owned enterprises’ (SOE).

“Kemampuan SOE berskala besar untuk membida tender pada kos yang rendah telah menyebabkan syarikat-syarikat tempatan, termasuk pemain besar sukar mendapatkan peluang kontrak untuk projek-projek sedemikian.

“Situasi ini agak membimbangkan kerana ia boleh menghadkan kapasiti pertumbuhan syarikat-syarikat pembinaan tempatan, terutamanya pada ketika ini di mana pertumbuhan sektor pembinaan negara terkesan dengan perkembangan ekonomi dan sentimen perniagaan yang semakin rendah.

“Dominasi SOE milik Kerajaan China dalam projek-projek infrastruktur mega Malaysia berpunca daripada pandangan sempit Kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu, yang telah mengutamakan syarikat asing tanpa memikirkan impak terhadap syarikat-syarikat tempatan ibarat ‘anak dipangku dilepaskan, beruk di hutan disusukan’,” ujarnya lagi.

Mengambil contoh projek East Coast Rail Link (ECRL) yang diberikan kepada SOE China itu, Faiz berkata kerajaan BN hanya memperuntukkan 30 peratus daripada kontrak berkaitan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) kepada syarikat tempatan.

“Selepas memenangi Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU-14) walaupun masih dihadkan oleh kontrak asal dengan SOE China, Kerajaan PH telah berjaya menyemak semula kontrak dan telah meningkatkan peruntukan EPCC untuk syarikat tempatan kepada 40 peratus.

“Walaupun Kerajaan PH telah mengambil usaha membetulkan kesilapan pentadbiran terdahulu, lebih banyak usaha perlu diperkenalkan untuk meningkatkan pertumbuhan sektor pembinaan tempatan,” katanya.