Malaysia Dateline

Kerajaan dirayu teruskan subsidi harga minyak untuk rakyat B40

ULASAN: Sejak mengambil alih pentadbiran Putrajaya, Kerajaan Pakatan Harapan telah berusaha memperkenalkan polisi-polisi baharu sebagai komitmen untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat khususnya mereka yang berada dalam golongan B40.

Ini terbukti dengan tindakan kerajaan yang telah menetapkan harga minyak RON95 pada RM2.20 dan diesel pada RM2.18 sejak kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihanraya Umum ke-14, walaupun harga minyak mentah jenis Brent telah meningkat mendadak sejak awal tahun ini.

Oleh itu, dakwaan mantan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak bahawa kerajaan mengenakan cukai 30 sen untuk seliter RON95 sejak dua bulan yang lepas adalah bertujuan untuk mengelirukan rakyat.

Berdasarkan data Bank Dunia, purata harga bulanan minyak mentah Brent telah kekal di atas paras US$73 setong sejak Jun dan juga telah mencecah harga purata setinggi US$80.47 pada bulan Oktober.

Bukan itu sahaja, paras harga ini adalah jauh lebih tinggi daripada harga purata US$68-US$71 untuk tempoh Januari-April ketika pemerintahan Najib Razak.

Namun begitu, Kerajaan Pakatan Harapan tidak mengapungkan harga petrol dan diesel seperti mana yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional terdahulu. Malah, Pakatan Harapan telah menawarkan harga yang sama untuk petrol RON95 dan diesel di pam minyak, dan menanggung lebihan kos menerusi subsidi.

Kerajaan Pakatan Harapan pada awalnya telah memperuntukkan RM3 bilion untuk subsidi RON95 dan diesel tahun ini. Namun, lebih daripada apa yang dijangkakan, setakat bulan Mei-September, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM3.21 bilion untuk subsidi berikutan peningkatan drastik harga minyak Brent dunia.

Ini bermaksud Kerajaan Pakatan Harapan telah menyalurkan hasil kerajaan sebanyak RM642 juta secara purata setiap bulan ke dalam poket rakyat.

Pada ketika ini, Kerajaan Pakatan Harapan sedang dalam proses memperkenalkan sistem subsidi bersasar atau “targeted fuel subsidy” bermula April 2019.

Ia bertujuan untuk menfokuskan pemberian subsidi kepada golongan yang layak.

Mekanisme ini akan terpakai untuk kereta dengan kapasiti engine 1,500cc ke bawah, dan motosikal berkapasiti 125cc ke bawah. Pemilik kereta yang menerima subsidi di bawah sistem baharu ini akan menikmati subsidi petrol RON95 untuk 100 liter, manakala penunggang motosikal yang layak akan menikmati subsidi untuk 40 liter.

Mengikut anggaran Kementerian Kewangan, penerima subsidi akan menerima sekurang-kurangnya 30 sen subsidi untuk setiap liter petrol RON95.

Sistem ini bagi memastikan kebajikan rakyat berpendapatan rendah terjaga, dan pada masa yang sama, menjamin kelangsungan pengurusan fiskal negara. Oleh sebab sistem subsidi bersasar ini akan diperkenalkan dalam hanya tiga bulan lagi, adalah tidak relevan untuk Kerajaan Pakatan Harapan mengubah sistem harga petrol tetap sekarang kepada konsep apungan harga serta-merta kerana ia akan menyukarkan para pemilik stesen.

Bukan itu sahaja, pasaran minyak mentah global adalah sangat tidak menentu pada ketika ini dan boleh mencatatkan peningkatan semula selaras dengan perkembangan antarabangsa. Bank Dunia menjangkakan harga minyak Brent mencapai purata US$74 setiap tong pada 2019, berbanding US$72 tahun ini. Ini menunjukkan harga minyak mentah dunia yang sedang menurun ketika ini berpotensi untuk meningkat semula.

Kerajaan Pakatan Harapan telah memastikan rakyat tidak terbeban dengan peningkatan drastik harga minyak mentah untuk 6 bulan dari Mei hingga Oktober.

Walaupun harga minyak mentah dunia telah berkurang untuk bulan November dan Disember, secara kumulatifnya, penjimatan yang dinikmati oleh rakyat Malaysia menerusi subsidi minyak kerajaan setelah Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran Persekutuan adalah masih positif dan tinggi.

Polisi baharu ini diharapkan dapat memberikan penjimatan yang terbaik untuk rakyat selepas pengenalan sistem subsidi bersasar tidak lama lagi.

Harga petrol dan diesel akan diapungkan, tetapi rakyat pendapatan rendah akan diberikan subsidi bertujuan untuk mengukuhkan kuasa beli mereka. Mekanisme pelaksanaan subsidi bersasar berkenaan juga diharapkan tidak membebankan pengguna yang tidak menerima subsidi. Justeru, kerajaan dirayu untuk menetapkan harga siling dan menyuntik subsidi sekiranya harga melepasi harga siling. Polisi ini penting bagi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat secara keseluruhan.

Penulis adalah Timbalan Ketua Pemuda AMANAH dan Adun Permatang Pasir.