Malaysia Dateline

Kerajaan dirayu tidak haramkan vape

Komuniti pengguna vape merayu agar kerajaan tidak mengharamkan penggunaan dan penjualan rokok elektronik dalam negara.

Aktivis M Community, Hafiidzzul Nizal berkata, kerajaan diharap agar meneruskan pembentangan Rang Undang-undang rokok elektronik yang dijangka akan dibawa ke Parlimen pada Mac 2020 tanpa melibatkan sebarang penundaan tarikh.

Menurutnya, adalah lebih baik sekiranya akta berkenaan dapat dipercepatkan agar ia dapat dikawal selia dengan berkesan.

“Banyak perkara yang dapat dibendung dan dikawal selia agar ia menjadi satu industri sihat untuk mereka yang ingin berhenti merokok sekiranya kerajaan mempercepatkan pembentangan akta tersebut.

“Saya nak tegaskan di sini, vape bukan satu trend. Tetapi ia adalah alternatif kepada perokok seluruh Malaysia untuk berhenti merokok.

“Dikala kerajaan membenarkan penggunaan rokok dalam negara, kerajaan juga seharusnya membenarkan kami membuat pilihan untuk menggunakan vape sebagai alternatif kami berhenti rokok. Kerajaan tak boleh menafikan hak kami,” katanya dalam sidang media di Mtree Hotel, Puchong hari ini.

Turut hadir, Shariful Azmir Mustafa, Exco Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK); Presiden Malaysia Retail E-Cigaratte Association (MRECA), Datuk Adzwan Ab Manas; Timbalan Presidennya, Mohd Fairus Md Nor @ Bruca.

Hafiidzzul turut menekankan, bahawa tiada sebarang kajian telah dilakukan di Malaysia seperti mana negara-negara maju yang sekurang-kurangnya cuba untuk mendalami penggunaan vape tersebut.

Jelasnya, hasil kajian terprinci dari Public Health of England (PHE) mendedahkan bahawa penggunaan vape adalah 95 peratus lebih selamat dari rokok.

Hafiidzzul Nizal

Malah katanya, M Community sendiri mempunyai hampir 20,000 pengikut yang dahulunya perokok tegar dan kini berjaya berhenti merokok dengan alternatif penggunaan vape.

“Kebanyakan kesan sampingan apabila pihak di luar sana menceritakan perkara yang tidak berdasarkan kajian yang sahih. Selama vape diperkenalkan di Malaysia mahupun di luar negara, belum ada lagi kes kematian yang melibatkan vape ini.

“Justeru itu, untuk mengelak lebih banyak salah info mengenai vape tular dengan lebih meluas, kami mendesak agar kerajaan menjalankan kajian seperti yang telah dibuat negara-negara maju agar vape dapat dijadikan sebagai alternatif kepada mereka yang ingin berhenti merokok,” katanya.

Sementara itu, Exco AMK, Shariful menyifatkan kehadirannya hari ini sebagai penghubung antara pihak M Community untuk mengetengahkan isu ini untuk dibawa ke pihak yang bertanggungjawab.

Jelasnya, isu yang melibatkan hak rakyat ini penting agar Ahli Parlimen dan pihak berkenaan yang membawa kepada penggubalan akta ini, jelas dan faham dengan penerangan kebaikan dan keburukan penggunaan vape.

“AMK bersetuju agar undang-undang berkaitan vape terus dibincangkan untuk diluluskan dan bukannya di sekat. Vape juga perlu dijual dengan kadar ‘zero nikotin’. Banyak cara untuk kawal isu vape ini, bukan dengan melawan dan menyekat.

“Kita menuju negara maju tapi kita masih berlatar belakangkan undang-undang yang terkebelakang. Seharusnya lebih kehadapan bukan mundur,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan (KKM) memutuskan akan membentangkan akta baharu berkaitan penggunaan tembakau, ‘vape’, rokok elektronik dan shisha di Parlimen selewat-lewatnya pada persidangan sesi Mac 2020.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, KKM ketika ini dalam fasa akhir dalam penelitian untuk menggubal akta berkenaan yang disifatkan lebih menyeluruh serta dapat menangani pelbagai isu terkini.