Kerajaan disaran adakan perhimpunan tahunan bagi pelajar Malaysia di luar negara

Kerajaan disaran adakan perhimpunan tahunan bagi pelajar Malaysia di luar negara

Kerajaan disaran supaya menganjurkan perhimpunan tahunan bagi pelajar Malaysia yang menuntut di luar negara agar mereka dapat dimaklumkan mengenai perkembangan terbaharu yang berlaku di dalam negara.

Ketika menyarankan perkara itu Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Datuk Ir Dr Wahid Omar berkata ini merupakan medan terbaik kepada kerajaan untuk memperkasakan pelajar Malaysia yang menuntut di luar negara.

“Pelajar-pelajar ini ialah bakal pemimpin masa depan. Jadi adalah bagus kalau mereka dapat berjumpa,” katanya kepada pemberita pada perasmian Simposium Antarabangsa Mahasiswa Indonesia 2019 anjuran Persatuan Pelajar Indonesia Dunia (OISAA) hari ini.

Justeru beliau berharap Kementerian Pendidikan akan dapat mencontohi pendekatan yang diambil oleh negara jiran itu dalam memperkasakan pelajar mereka di luar negara dengan menganjurkan simposium seumpama itu.

“Saya akan mencadangkan kepada kementerian supaya dapat mengadakan perhimpunan tahunan kepada pelajar-pelajar kita di luar negara,” katanya.

Terdahulu, Wahid berkata beliau sangat tertarik dengan semangat pelajar yang ditunjukkan oleh pelajar Indonesia yang menuntut di 34 buah negara yang sanggup berkumpul di simposium itu semata-mata kerana mahu membincangkan isu ‘Peranan Anak Muda Terhadap Inovasi Untuk Ketidakbergantungan Negara.’

Semangat itu katanya, menandakan mereka mahu membina jaringan strategik yang positif, bukan sahaja dalam mahasiswa Indonesia sendiri malahan Malaysia juga amnya.

Sementara itu, menurut Pengarah program, Roy Suwanto, pemilihan topik inovasi yang akan dibincangkan mereka dalam simposium itu selama lima hari bermula hari ini adalah selari dengan perkembangan pembangunan yang sedang dialami Indonesia kini.

Turut hadir Direktor Jenderal Pembelajaran dan Kemahasiswaan, Kementerian Riset, Sains dan Pendidikan Indonesia, Prof Dr Ismundar dan Atase Pendidikan dan Kebudayaan, Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur Mohkamad Farid Maruf.

— BERNAMA