Malaysia Dateline

Kerajaan disaran bantu kumpulan bekerja sendiri yang terjejas teruk

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menyarankan kerajaan supaya membantu kumpulan yang bekerja sendiri khususnya di sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat krisis Covid-19.

Katanya, punca pendapatan dari rantaian pelancongan seperti pengendali chalet, homestay peniaga makanan dan minuman serta pengendali khidmat pelancongan dan majlis secara bersendirian turut terjejas dengan tiadanya pelancong yang datang sepanjang 2020 nanti.

Tegas beliau, pakej ransangan perlu melihat semua aspek secara terperinci dan mestilah bermaklumat tepat supaya sasaran bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan tanpa meninggalkan mana-mana pihak berpandukan kepada keberkesanan penyampaian dan perlaksanaan.

“Program Subsidi Upah dialu-alukan, namun dicadangkan supaya program subsidi upah ini dilanjutkan dari 3 bulan kepada 6 bulan bagi pihak industri menangani keadaan selepas impak sebenarnya berlaku.

“Selain itu, kerajaan disarankan berunding untuk memberi sedikit kelegaan kepada industri pembuatan yang bukan asas untuk beroperasi pada kadar 50% kekuatan kerja bagi meneruskan keperluan domestik dan luaran.

“Pekerja yang mendapat moratorium 3 bulan pembayaran kredit juga patut tidak dibebankan dengan kadar bunga yang akan dikompounkan selama penagguhan bayaran.

“Dicadangkan moratorium kredit dikurangkan kadar interest ataupun dihapuskan sahaja untuk meringankan beban pekerja setelah tamat penangguhan bayaran,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Mujahid, ekonomi dunia pasca Covid-19 dijangka berlaku penurunan KDNK global kepada 0.4% dari unjuran awal USD86.6 trilion untuk 2019. Ini bermakna kerugian ekonomi kepada dunia ialah sebanyak USD3.5 trilion.

Katanya, laporan IMF menganggarkan 500 juta penduduk dunia akan jatuh miskin kesan dari ekonomi dunia yang terjejas teruk. Penduduk rantau Asia Pasifik paling terkesan dengan unjuran 240 juta orang, hampir ½ daripada penduduk dunia.

“Negara akan mengalami unjuran penguncupan pertumbuhan antara 0.4%-2.5% di mana pertumbuhan ekonomi untuk 2020 dijangkakan perlahan dari asal unjuran 4% kepada 2.4%.

“Pendapatan negara turut terjejas dengan penurunan harga minyak mentah setong kepada US 20 dan dari pendapatan industri pembuatan dan pelancongan.

“Pelancongan yang menjana RM66 bilion kepada pendapatan negara turut terjejas di mana sekatan perjalanan antara negara masih berkuatkuasa mungkin sehingga hujung tahun 2020. Industri perhotelan sahaja akan rugi RM3.3 bilion dan menjejaskan 56,229 pekerja,” kata beliau.

Tambah beliau, ekonomi domestik paling teruk terjejas dianggarkan penguncupan kepada -2.8% maknanya 0% perkembangan.
Ujarnya, kebanyakan industri seperti pembuatan dari sektor IKS kerugian pendapatan hampir 50% sehingga mereka terpaksa memberhentikan pekerja, memaksa cuti tanpa gaji atau pengurangan gaji.