Kerajaan disaran buat keputusan bijak pilih pakar terajui GLC

Kerajaan disaran buat keputusan bijak pilih pakar terajui GLC

Kerajaan disarankan supaya membuat perhitungan yang bijak dalam melantik Pengarah maupun Ahli Lembaga Pengarah untuk menerajui mana-mana syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Pengalaman dan sejarah ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN) seharusnya dijadikan iktibar agar segala kepincangan yang lalu tidak diamalkan kembali oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Demikian padangan Setiausaha Bahagian Tasek Gelugor, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu ) Datuk Jasmin Mohamed ketika ditemui.

Jelas beliau lagi, selama empat penggal menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN, banyak salah guna kuasa telah berlaku apabila lantikan politik diberikan amanah untuk menerajui GLC.

Datuk Jasmin Mohamed

“Kebanyakan mereka yang dilantik untuk menerajui GLC semasa zaman BN dahulu adalah lantikan politik yang tidak langsung mempunyai pengetahuan ataupun kepakaran dalam syarikat yang diterajui.

“Sewajarnya mereka yang akan menerajui mana-mana GLC diberikan tanggungjawab sejajar dengan kemahiran, pengetahuan ataupun pengalaman yang ada.

“Sekiranya ini dilaksanakan sudah pasti mereka yang menerajui syarikat tersebut mampu untuk membawa idea baru, pengalaman yang ada bagi memberi keuntungan kepada GLC yang diterajui, ” ujarnya yang juga bekas Adun Sungai Dua.

Tegas Jasmin lagi, lebih mendukacitakan ialah majoriti dari mereka yang dilantik sebelum ini mendapat habuan yang lumayan sedangkan tidak mempunyai sebarang kelayakan.

“Seandainya GLC tersebut adalah berkaitan dengan industri halal atau produk makanan, maka adalah lebih baik mereka yang mempunyai pengalaman dan ilmu dalam bidang tersebut diberi kepercayaan.

“Begitu juga jika GLC yang berkait rapat dengan perhotelan, perkayuan, kesihatan maupun pendidikan, maka mereka yang perlu menerajuinya adalah yang mempunyai potensi untuk memajukan syarikat tersebut.

“Jangan lagi terjadi GLC yang diterajui tidak mampu dimajukan sehingga menyebabkan kerugian yang berlambak-lambat, sebaliknya yang menerajui goyang kaki dan mendapat gaji buta,”tegasnya lagi.

Sehubungan itu tambahnya, semua kerajaan negeri harus peka dan memberi keutamaan dalam isu ini agar segala salah laku, salah urus tadbir dan menyalahgunakan kedudukan seperti mana yang berlaku pada zaman BN tidak menjadi amalan dalam kerajaan PH kini.

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote