Malaysia Dateline

Kerajaan disaran lebih kreatif tangani kebanjiran warga asing, kata DPPM

Pemuda  Pas  menyarankan  agar lebih kreatif dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing dan menggalakkan pasaran buruh tempatan dan mengkaji semula sektor pekerjaan yang membenarkan pengunaan buruh asing agar dapat meminimumkan pengunaan mereka kepada sektor yang benar- benar perlu.

Ketua Pemuda Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, lambakan buruh warga asing juga di khuatiri menyebabkan kurangnya peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

“Terlampau banyak buruh asing juga mengakibatkan pengaliran keluar mata wang negara dalam jumlah yang besar.

“Kita tidak menafikan sumbangan dan keperluan buruh asing dalam pembangunan negara namun kita tidak mahu ia menjadi beban kepada negara dan meresahkan warga tempatan dengan lambakan mereka di serata tempat.

“Kebanjiran warga asing telah menjadi satu masalah besar kepada rakyat terutamanya pendatang tanpa izin (Pati),” ujarnya dalam kenyataan.

Katanya, masalah yang telah berlarutan sejak sekian lama perlu di tangani segara oleh Kerajaan memandangkan jumlah mereka agak besar dan di sesetengah kawasan, ia menimbulkan masalah dan menyukarkan urusan seharian rakyat.

“Sepertimana keluhan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun tentang lambakan warga asing di Kampung Baru, sebenarnya lambakan warga asing cukup membimbangkan dan tidak hanya berlaku di Kampung Baru sahaja malah di banyak tempat di dalam negara.

“Ketua Polis Negara baru – baru ini juga telah mengarahkan tindakan segera dan pemantauan di lakukan di Desa Aman Puri, Kepong akibat masalah yang sama. Kelmarin serbuan di lakukan di Batu 9, Cheras untuk membenteras kebanjiran warga Afrika di sana. Masalah yang berlarutan ini perlu di tangani segera.

“Kerajaan terutamanya Jabatan Imigresen perlu memperketatkan lagi undang – undang Imigresen serta syarat – syarat kemasukan ke dalam negara untuk warga asing samada untuk berkerja, melancong ataupun mengeluarkan pas lawatan sosial mahupun pelajar kepada mereka. Banyak penyalahgunaan telah di laporkan dan ada di antaranya hanya untuk mengaburi pihak berkuasa di sebalik kegiatan jenayah mereka seperti pengedaran dadah.

“Jabatan Imigresen terutamanya Kementerian Dalam Negeri juga perlu memantau jumlah kemasukan pekerja asing dalam negara agar tidak melebihi keperluan pasaran,” ujarnya.

Katanya lagi,kebanjiran warga asing terutamanya warga Bangladesh dan Nepal di beberapa kawasan di tengah ibu kota menyebabkan keadaan tidak selesa terutamanya untuk wanita dalam menjalankan tugas seharian mereka kerana terpaksa mengharungi keadaan ini kerana terpaksa melalui kawasan – kawasan tersebut.

Selain daripada itu, lambakan ini juga katanya lagi, turut menyumbang kepada perlakuan sumbang ataupun pekerjaan membabitkan maksiat seperti GRO dan pelacuran di pusat hiburan dan pusat urut. Malah dalam banyak kes yang di paparkan, banyak juga di kalangan warga asing yang turut terbabit di dalam pengedaran dadah dan kegiatan jenayah.

“Pemantauan ketat perlu di lakukan ke atas majikan dan agen agar semua pekerja yang telah tamat tempoh permit perlu di hantar pulang ke negara asal.

“Kerajaan juga perlu menghadkan jumlah kemasukan pekerja asing agar tidak mengganggu pasaran buruh tempatan samada perkerja mahir, separuh mahir ataupun kurang mahir,” ujarnya.