Kerajaan disaran semak kembali perjanjian pembelian kuasa elektrik PPA

Kerajaan disaran semak kembali perjanjian pembelian kuasa elektrik PPA

Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar disarankan supaya menyemak kembali perjanjian-perjanjian pembelian kuasa (PPA-Power Purchase Agreement) yang telah ditangani antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan syarikat-syarikat penjana kuasa bebas (IPP-Independent power producers).

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH, Faiz Fadzil berkata, semakan semula terhadap PPA perlu dilakukan bagi memastikan TNB dan rakyat tidak menanggung kerugian akibat terma perjanjian yang membebankan dan tidak munasabah.

Malah katanya, walaupun beberapa PPA telah disemak semula dibawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini, ia masih mempunyai beberapa kekurangan yang perlu diatasi oleh kerajaan baharu kini.

“Sebagai contoh, dalam proses menyemak semula PPA sebelum ini, Suruhanjaya Tenaga telah memberi ‘extension of tenure’ ataupun pemanjangan tempoh operasi untuk beberapa IPP yang terlibat.

“Keputusan ini dibimbangi tidak mampu menjimatkan kos elektrik dalam jangka masa panjang, sebaliknya membebankan pengguna khususnya pengguna komersial menerusi sistem Imbalance Cost-Pass Through (ICPT).

Faiz Fadzil menziarahi Alias Yusuf

“Begitu juga dengan tindakan melanjutkan tempoh kontrak penjanaan kuasa, khususnya untuk aset jana kuasa yang telah berusia, hanya menjadikan penjanaan elektrik berlaku dengan tidak efektif, ” ujarnya¬†ketika ditemui semasa menziarahi salah seorang penduduk yang lumpuh, Alias Yusof di Permatang Ara, Permatang Pasir semalam.

Faiz yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir juga berkata, dengan melanjutkan tempoh operasi bagi aset lama jika dibandingkan dengan aset baru yang lebih efisien, TNB berkemungkinan terpaksa membayar kos penjanaan elektrik yang lebih tinggi.

Akibat dari itu katanya, kos yang lebih tinggi ini akan disalurkan kepada pengguna.

Oleh kerana itu ujarnya, kerajaan harus menilai kembali PPA berkenaan untuk memastikan rakyat negara ini benar-benar menerima manfaat daripada mekanisme pembelian kuasa elektrik tersebut.

“Pada masa yang sama, kerajaan boleh menilai ‘cost and benefit’ di sebalik pemilikan sesetengah aset jana kuasa elektrik negara oleh pihak luar.

“IPP kedua terbesar dalam negara ialah Edra Power Holdings Sdn Bhd yang telah dijual pada 2015 oleh kerajaan BN kepada sebuah syarikat China iaitu China General Nuclear Power Corp (CGN).

“Sehubungan itu adalah penting untuk dinilai semula pemilikan aset jana kuasa oleh CGN dalam negara ini bagi memastikan keselamatan negara tidak terjejas, ” jelasnya.

Tambah Faiz lagi, adalah diharapkan laporan terperinci mengenai penilaian semula pegangan ekuiti CGN terhadap Edra Power Holdings Sdn Bhd akan dibentangkan bagi tatapan umum.

Ujarnya lagi, tidak sepatutnya aset negara dikuasai oleh kuasa asing yang boleh membebankan rakyat dalam negara ini.

9.0
OVERALL SCORE
: 8.0
1 user vote x 10.0