Malaysia Dateline

Kerajaan disaran ubah kadar takrif kemiskinan

Kerajaan disaran menetapkan kadar takrif kemiskinan lebih tinggi bagi mendapatkan jumlah penduduk miskin yang lebih tepat di negara ini, kata Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata pihaknya menyedari wujud ketidaksamaan dan tahap pendapatan rendah dalam kalangan isi rumah serta terdapat isu struktur ekonomi yang masih berterusan.

Justeru beliau berharap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dapat mempertimbangkan pandangan tentang ukuran baharu kadar kemiskinan itu.

“…yang menyedihkan oleh kerana pendapatan tidak dapat dikejar, apa yang berlaku mereka kurangkan belanja untuk makanan di rumah.

Kita juga bimbang kualiti kesihatan dan pendidikan bagi kumpulan B40 juga akan terkesan,” katanya ketika berucap pada Seminar Ekonomi, Kemiskinan dan Kesenjangan di Malaysia: Takrifan dan Pelaksanaan di Parlimen di sini hari ini.

Beliau berkata pembangunan mampan perlu diasaskan melalui pendekatan baharu dan inovatif untuk menangani cabaran kemiskinan dan ketidaksamaan yang semakin melebar.

Seminar itu turut dihadiri pakar ekonomi seperti Rajah Rasiah dari Institut Asia Eropah Universiti Malaya (UM) dan Ahli Majlis Penasihat Kerajaan Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram.

Sebelum ini, Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Berhubung Kemiskinan Tegar dan Hak Asasi Manusia Prof Philip Alston mendakwa Malaysia mempunyai “kemiskinan yang ketara”, dan kadar kemiskinan sebenar adalah kira-kira 15 peratus berbanding 0.4 peratus yang dinyatakan kerajaan.– BERNAMA