Kerajaan disaran wujudkan Dasar Pelaburan Negara

Kerajaan disaran wujudkan Dasar Pelaburan Negara

Walaupun baru setahun Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara, pencapaian ekonomi begitu memberangsangkan pada suku pertama 2019 (1Q19) dimana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara telah berkembang 4.5 peratus mengatasi jangkaan pakar ekonomi.

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH, Faiz Fadzil berkata, berdasarkan survei Bloomberg, pakar-pakar ekonomi pada awalnya hanya menjangkakan KDNK Negara berkembang sebanyak 4..3 peratus untuk tempoh Januari hingga Mac 2019.

Malah katanya, ada juga jangkaan serendah 3.9 peratus, namun begitu ekonomi negara telah berjaya mengatasi jangkaan tersebut meskipun terus dihimpit dengan impak negatif sektor luaran seperti perang perdagangan US-China serta pertumbuhan ekonomi yang semakin menurun.

“Ekonomi serantau seperti Singapura, Indonesia, Korea Selatan, Filipina dan China telah mencatatkan perkembangan yang lebih perlahan pada suku pertama.

“Walau bagaimana pun, negara masih menikmati ekonomi yang stabil dan optimis kerajaan mampu untuk meneruskan prestasi baik sebegini.

“Disamping itu, hala tuju ekonomi negara juga berada pada landasan yang betul, ” ujarnya.

Jelas Faiz lagi, sektor pertanian khususnya, telah melihat pertumbuhan yang cukup baik apabila ia berkembang sebanyak 5.6 peratus pada suku pertama 2019.

Katanya ini adalah kerana peningkatan pengeluaran minyak sawit mentah dan getah serta inflasi juga stabil pada hanya 1.6 peratus pada 1Q19.

“Usaha kerajaan memulihkan tadbir urus korporat dan kedudukan kewangan institut dana awam yang mengalami defisit teruk sebelum ini seperti Felda, Tabung Haji dan seumpamanya telah mengembalikan keyakinan pelabur.

“Negara juga mencatatkan pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM21.7 bilion pada 1Q19, iaitu lonjakan yang cukup besar berbanding RM11.2 bilion pada suku pertama tahun lepas.

“Nilai pelaburan asing pada 1Q19 adalah lebih tinggi daripada jumlah agregat FDI pada suku kedua, ketiga dan keempat 2018 serta para pelabur daripada ekonomi maju seperti Jepun, Australia, dan Hong Kong merupakan penyumbang utama disebalik kenaikan FDI secara
mendadak, ” tegasnya.

Beliau juga berkata, kejayaan ini digarap selepas negara mencatatkan pelaburan langsung asing yang diluluskan (Approved FDI) terbesar dalam sejarah negara pada tahun 2018.

Untuk maklum ujarnya, nilai ‘approved FDI’ melonjak sebanyak 48 peratus kepada RM80.5 bilion berbanding hanya RM54.4 bilion pada tahun 2017 semasa pentadbiran BN.

“Lebih membanggakan ‘approved FDI’ dalam bidang pembuatan melonjak lebih 100 peratus kepada RM58 bilion pada 2018, berbanding hanya RM21.7 bilion pada 2017.

“Kerajaan PH juga telah meluluskan 81 projek FDI yang berteraskan kemahiran dan teknologi tinggi, manakala projek-projek tersebut bernilai RM100 juta dan keatas.

“Sekiranya dibandingkan dengan tahun 2017, jumlah projek telah pun meningkat sebanyak 43 peratus, ” tambah Faiz lagi.

Selain dari itu katanya, dalam pasaran modal Malaysia, negara telah mencatat perkembangan yang membanggakan dimana aliran masuk bersih asing bernilai RM13.5 bilion telah dicatatkan pada 1Q19 berbanding aliran keluar bersih RM2.5 bilion pada suku keempat 2018.

Perkembangan ini jelasnya, adalah didorong oleh lebih ramai pelabur asing yang membeli bon di pasaran negara.

“Kejayaan kerajaan PH meningkatkan pelaburan asing akan memainkan peranan yang amat penting dalam mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, khususnya yang berkemahiran tinggi serta mampu untuk memacu perkembangan negara ke arah menjadi negara industri berteknologi tinggi.

“Peningkatan FDI secara mendadak membuktikan bahawa keyakinan pelabur asing terhadap negara ini telah meningkat secara signifikan selepas PH mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

“Adalah diharapkan kerajaan terus meningkatkan inisiatif dalam mengukuhkan ekonomi negar dan meningkatkan pelaburan asing, ” katanya.

Faiz turut berkata, sebuah Dasar Pelaburan Negara perlu diwujudkan bagi memberi fokus terhadap pelaburan domestik dan pelaburan langsung asing.

Dasar ini sarannya,perlu menggariskan strategi untuk setiap sub-sektor ekonomi seperti minyak dan gas, pertanian, pelancongan, elektrik, elektronik dan seumpamanya.

Langkah itu ujarnya, penting bagi memastikan keyakinan pelaburan tempatan dan asing dapat terus dibina pada masa yang akan datang.