Malaysia Dateline

Kerajaan disaran wujudkan SOP cegah Covid-19 di stesen minyak

Profesor perubatan menyarankan kerajaan agar mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) di stesen minyak supaya pencegahan Covid-19 dapat dijalankan.

Pakar Perunding Perubatan Keluarga Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Datuk Dr Muhammad Tauffik Mohd Noor berkata, virus Covid-19 mampu melekat pada sebarang permukaan dalam tempoh agak lama.

“Disebabkan stesen minyak menjadi tumpuan ramai, jadi kita tidak tahu sama ada individu yang mengunakannya adalah positif Covid-19 atau kontak rapat kerana ia sangat cepat merebak,” katanya.

Walau bagaimanapun, beliau berpendapat tidak boleh menuduh pam minyak sebagai ejen penyebaran virus yang berbahaya itu tanpa bukti dan data yang sahih.

“Banyak lagi tempat lain yang boleh bertindak sebagai ejen sebaran,” dipetik Sinar Harian.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan langkah pencegahan amat penting sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 31 Mac ini.

Dr Muhammad Tauffik mencadangkan pengendali stesen minyak menyediakan sarung tangan di kaunter pam minyak dan pengguna perlu memakainya sebelum mengisi minyak.

“Cecair pembasmi kuman juga perlu disediakan. Pastikan pengguna menggunakan cecair pembasmi kuman sebelum dan selepas menggunakan pam minyak.

“Ini adalah langkah pencegahan yang betul,” katanya lagi.

Kelmarin, seorang doktor perubatan dari Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) mengatakan virus Covid-19 mudah merebak di stesen minyak.

Beliau yang tular di media sosial itu menyarankan pengguna mengamalkan langkah pencegahan.