Malaysia Dateline

Kerajaan diterajui PM Anwar perlu elak isu UEC jadi modal besar pembangkang

Penganalisis politik, Dr. Abdul Muqit Muhammad berpendapat tuntutan berkaitan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Persendirian Cina (UEC) sebagai isu ‘malar segar’ dalam mana-mana kerajaan yang memerintah.

Menurut pensyarah Universiti Malaya (UM) itu, banyak pihak yang tidak sabar untuk melihat bagaimana kerajaan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim menangani isu mengenai sistem peperiksaan itu.

“Selepas ini kita akan melihat bagaimana pentadbiran di bawah Anwar untuk menangani isu UEC, inilah isu yang evergreen dan sentiasa ada dalam mana-mana kerajaan.

“Bagi saya kalau Anwar ambil sikap yang agak berlawanan dengan kehendak politik orang Melayu, ia akan jadi modal besar untuk parti pembangkang,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Kelmarin, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pada sidang media khas di Putrajaya berkata, isu pengiktirafan UEC bukan menjadi keutamaan kementerian tersebut buat masa ini.

Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa kementerian itu akan memberi tumpuan utama kepada usaha dan menangani cabaran ekonomi serta kos sara hidup dihadapi rakyat.

Isu UEC sudah wujud sejak zaman pemerintahan Barisan Nasional lagi (BN), dimana tuntutan ini dilihat sebagai satu alat untuk menggertak pihak kerajaan dan pembangkang.

Walaupun pembentukan Kabinet diterajui Perdana Menteri ke-10 belum dimuktamadkan lagi bulan lalu, sudah wujud gesaan Dong Zong supaya kerajaan mengiktiraf UEC.

Pengiktirafan tersebut bagaimanapun bercanggah dengan sistem pendidikan kebangsaan sedia ada yang menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar.