Malaysia Dateline

Kerajaan Gagal dan pendidikan yang gagal

Penulis terkejut dengan ulasan dan kenyataan Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang berhubung pendapat yang menyatakan kerajaan gagal menangani pandemik COVID-19 dan menyifatkan golongan yang mengkritik kerajaan sebagai gila berpolitik.

Pandangan kritis mengenai pendekatan gagal kerajaan dalam membendung peningkatan COVID-19 dibuat oleh ramai ahli sains perubatan, pakar kesihatan awam, penganalisis data sains, penganalisis polisi awam dan pengkaji keselamatan (security studies). Rata-rata hasil kajian dan analisis yang dihasil dan dirumus bukanlah berdasarkan kecenderongan politik atau kerana kegilaan berpolitik seperti tuduhan Presiden Pas. Kenyataan ini amat mengecewakan.

Dalam satu kenyataan beliau yang lain pula membandingkan pengkritik kerajaan PN sebagai tupai dan kera. Hinanya sungguh gelaran yang diberikan kepada yang mengkritik. Sedangkan sama ada beliau sedar atau tidak sedar atau mungkin sudah singkat akal, ketika kerajaan PH memerintah dari awal lagi Pas dan pimpinan Pas hampir setiap hari mengkritik kerajaan, cuba memecah-belahkan kerajaan dengan pelbagai cara. Gelaran dan haiwan apa yang apakah yang layak untuk diperbandingkan bagi beliau dan para pimpinan sebegini?

Bukan tugas kita memberi label sebegitu untuk mengaibkan, tambahan pula dengan status ulama yang beliau diiktiraf oleh ahli-ahli Pas! Tapi rakyat harus sedar itulah tahap pemikiran seorang pemimpin utama dalam Pas, sekiranya gagal dalam memberikan hujah yang jelas dari sudut saintifik maka gelaran dan label yang akan diberikan, kera tupai dan pada suatu ketika dahulu ‘kafir-mengkafir’. Satu ketika haram mengundi BN Umno sampai kiamat dan wajib sokong DAP!

Sejak pandemik COVID-19 menular diawal tahun 2020, saintis dan pakar kesihatan awam amat bimbang dengan pendekatan kerajaan dalam menanganai pandemik. Selepas Mac 2020, pendekatan yang tidak berasaskan data-raya tepat (firm big data) dan proses vaksinasi yang tidak tidak berstrategi menyebabkan permasalahan yang berlaku sekarang.

Dengan menasihati YDPA diawal tahun 2021 supaya mengisytiharkan darurat tanpa pula mengusulkan perancangan dan strategi plan pemulihan dan vaksinasi yang teratur, sesungguhnya perlaksanaan darurat sebenarnya telah gagal membendung penularan pandemik COVID-19. Bukti jelas dihadapan mata kita semua dengan angka yang meningkat, dan pertambahan kluster baharu. Para saintis dan apatah lagi rakyat awam keliru dan bercelaru dengan pelbagai istilah yang digunakan PKP, PKPD, PKPP dan kini FASA 1, FASA 2 dan seterusnya.

Salah satu sektor yang terjejas dalam situasi pandemik yang tidak di boleh dipandang ringan dengan pendekatan yang perlu dikritik adalah pendidikan. Kita sebenarnya telah menyebabkan jurang bagi generasi (generation gap) dalam proses persekolahan. Anak-anak yang sepatutnya memulakan alam persekolahan pada tahun 2020 dan pada tahun ini sepatutnya berada di tahun dua. Manakala pada tahun ini pula sesi persekolahan sebenarnya hanya berjalan beberapa minggu, dengan perisytiharan darurat, sekolah ditutup semula! Cuba bayangkan jika persekolahan dimulakan semula pada tahun 2022, bermakna kita menyebabkan jurang dua generasi, bila masuk sekolah sepenuhnya (mungkin) mereka hanya akan berada di Tahun 3. Siapa yang memikirkan dengan serius dan teliti hal-hal sedemikian.

Pada bulan Mac 2020 apabila Kerajaan Jepun mengisytiharkan penutupan sektor pendidikan di semua peringkat. Namun, rakyat rata-rata membantah termasuk anggota parlimen Jepun telah mengkritik dasar ini (kalau ini berlaku di Malaysia, sudah pastilah ibu-bapa yang mengkritik akan digelar kera dan tupai!). Kebimbangan mereka adalah akan berlakunya jurang generasi (generation gap) jika dasar ini berterusan dari sudut sosialisasi, sikap sivik generasi muda, kesinambungan keilmuan dan pendidikan.

Bagi menangani keluhan dan kritikan rakyat, Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi Jepun (Ministry of Education, Culture, Sports, Science, and Technology (MEXT)) telah menyusun semula jadual dan kaedah persekolahan dengan lebih berkesan. Iaitu dengan menyusun semula hari persekolahan berselang-seli hari mengikut kelas, tahap dan tahun, mengecilkan bilangan pelajar dalam sesebuah kelas (antara 20-40), menyediakan pada setiap meja penghadang vinil (vinyl shield), memberikan kesedaran kepentingan penjarakan sosial melalui kempen yang dikenali “Jarakan diri secara fizikal – tetapi dekat, secara rohani” (Stay far apart physically — but close, spiritually).

Pada masa yang sama satu petisyen digerakkan oleh cendikiawan dan penyelidik bidang pendidikan, menekan kerajaan supaya saiz kelas dikecilkan lagi dengan segera iaitu hanya 20 orang sahaja bagi satu kelas. Manakala Instititut Penyelidikan Riken dengan kerjasama Universiti Kobe melakukan simulasi bahawa kelas yang lebih besar boleh dijalankan dengan syarat mempunyai sistem pengudaraan yang sempurna dan baik.

Jadi, Jepun memiliki kerajaan yang amat perihatin terhadap pendidikan, mendengar kritikan dan teguran rakyat dengan menyediakan solusi yang menguntungkan bukan mencela pengkritik. Ahli parlimen mendebat dan membahas semua usul ini dan mencari solusi terbaik untuk rakyat dan negara.

Seawal permulaan pandemik lagi, dengan agresif tanpa membiarkan guru-guru dan para pendidik terpinga-pinga tanpa panduan mengenai kaedah proses pembelajaran, kerajaan menjelaskan beberapa pendekatan ketika ‘lock-down persekolahan’. Bukan setakat memperkenalkan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang tidak terarah seperti yang berlaku dalam negara ini. Bagi memastikan proses pembelajaran yang efektif, Menteri METX tampil dengan beberapa pelan dan proses pembelajaran yang lebih terarah : Persekolahan di rumah menggunakan buku teks dan bahan pengarajan (Homeschooling using textbooks and paper teaching materials); persekolahan di rumah melalui siaraya televisyen (Homeschooling using television); persekolahan di rumah menggunakan filem kelas c yang diambil oleh Lembaga Pendidikan Jepun (Homeschooling using class movies taken by Board of Education); persekolahan di rumah menggunakan teks dan bahan digital (Homeschooling using digital textbooks and digital materials dan persekolahan di rumah secara siaran langsung dan interaktif dalam talian (Homeschooling using live, interactive online courses) ! Dengan kata lain Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi (MEXT) Jepun bukan setakat muncul sekali sekala untuk mengisytiharkan sesi persekolah buka dan tutup semata-mata tetapi memberikan solusi indah (beautiful solutions) bagi sistem persekolahan.

Untuk menunjukkan keprihatinan Jepun terhadap sektor pendidikan pasca COVID-19, satu ‘blue print’ mengenai pendidikan pasca COVID juga telah disedia dan telah dibahas dengan kritikal oleh para cendikiawan, ahli akademik, pemegang taruh (ibu-bapa) dan anggota parlimen. Ini termasuklah meningkatkan lagi kelajuan transformasi digital bagi perkhidmatan pendidikan (Further Acceleration of Digital Transformation in the Education Service), perubahan peranan tenaga pengajar (Changing Roles of Instructors) dan Pelaburan masahadapan dalam Infrastruktur ICT bagi Perkhidmatan Pendidikan (Further Investment in ICT Infrastructure in the Education Service).

Begitulah kehadapannya peranan kerajaan Jepun dalam menangani pendidikan ketika pandemik dan peluncuran tidakan pasca COVID-19. Ini semua memerlukan sebuah kerajaan yang efektif dan menteri yang agresif berperanan sebagai menteri dalam kapasiti masing-masing, bukan semata-mata untuk mempertahankan kerusi empuk kerana politik dan status kekanannya. Sedangkan hakikatnya tiada manfaat besar pun untuk rakyat jelata! Pemimpin perlu bangkit dan menerima hakikat bahawa rakyat sudah boleh berfikir dan bebas memberikan pandangan dan kritikan. Peranan kerajaan yang baik (good government) dan pemerintahan yang baik (good governance) adalah mendengar, menapis dan mengambil manfaat mana-mana yang terbaik bukan melebel pengkritik atau pemberi pandangan. Terima jugalah hakikat bahawa pendekatan atau pelan menghadapi pandemik masa kini dalam perlbagai sudut adalah gagal.

Sebenarnya banyak aspek boleh dibahaskan lagi selain pendidikan, seperti perancangan luar bandar, peruncitan, keselamatan makanan, wanita, SME & SMI, pengangkutan, isu rakyat marhaen, perdagangan dalam negara, kesihatan awam dan lain-lain. Semua aspek ini telah banyak dibahaskan oleh negara-negara seperti New Zealand, Australia, Eropah, Negara-negara Arab (Emirates, Saudi dan lain-lain), Thailand dan lain-lain negara yang boleh dipelajari dan dibuat kajian perbandingan.

Dengan hanya berpandukan pandangan cendekiawan kangkung dan cendekiawan “angguk-angguk dan geleng-geleng” semata-mata, negara hanya akan mendapat solusi yang bernafas pendek (short breath). Ramai lagi saintis, cendekiawan dan rakyat pintar diluar ‘circle’ kerajaan PN yang boleh memberikan pandangan dalam pelbagai aspek, dan pandangan ini boleh dibahas oleh YB Ahli-ahli Parlimen untuk ‘membetulkan kecetekan pelan pemulihan negara. Pandangan mereka mungkin pedas, pahit dan keras, namun kerajaan yang baik harus mendengar dan mengambil iktibar. Saintis dan cendekiawan yang kritis tidak perlulah digelar kera dan tupai!

 

Penulis merupakan Felo Akademi Sains Islam yang berpengkalan di Jordan. Tulisan ini adalah merupakan pandangan penulis dan tidak menggambarkan pendirian akademi.