Malaysia Dateline

Kerajaan Gagal ‘mendidih’ di Sungai Melaka

Semburan cat ‘kerajaan gagal’ muncul di sekitar Sungai Melaka sekali gus dilihat gambaran luahan perasaan rakyat pada masa ini yang terpukul dengan pelaksanaan terbaharu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa esok hingga hingga 7 Jun depan.

Imej contengan berwarna merah dan hitam hampir di keseluruhan panel iklan di Kampung Air itu tular di media sosial.

Sehubungan itu, pihak Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) telah mengambil tindakan mengecat semula contengan vandalisme di sepanjang laluan siar kaki Sungai Melaka itu.

Mengulas insiden itu, Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) menganggap hal tersebut tidak boleh dipandang remeh sekali gus mencemarkan imej Melaka sebagai sebuah negeri pelancongan.

Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Datuk Murad Husin berkata, pihaknya akan menyiasat pelaku terbabit dan tindakan mengikut akta yang telah ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan dikenakan.