Malaysia Dateline

Kerajaan gagal mentadbir dan mengurus ekonomi punca agihan ASB merosot, kata Umno

Timbalan Presiden Umno  Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, punca agihan pendapatan ASB yang rendah disebabkan kerajaan gagal dalam mentadbir dan menguruskan ekonomi negara, bukan kerana ketidaktentuan keadaan ekonomi dunia dan kejatuhan pasaran saham seperti diumumkan  Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) Tan Sri Zeti Aktar semalam.

“Apa yang beliau tidak beritahu kepada umum ialah, kejatuhan ekonomi negara dan prestasi pasaran saham yang buruk ini adalah disebabkan oleh kegagalan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam mentadbir dan mengurus ekonomi negara.

 “Gagal kerana ketidakcekapan menteri-menterinya, serta ketidakstabilan politik negara kerana perebutan kuasa dalam kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Kata Mohamad lagi  sejak tahun 1990, kadar purata dividen dan bonus ASB adalah 10.06 peratus.

Pada tahun 1997-1999, walaupun negara menghadapi krisis ekonomi paling buruk dalam sejarah, dividen dan bonus ASB adalah melebihi 10 peratus iaitu dua kali ganda lebih tinggi daripada tahun ini.

Pada tahun 2008-2009, ketika ekonomi dunia tidak menentu akibat krisis ekonomi sub-prima di Amerika Syarikat yang memberi kesan buruk di seluruh dunia, dividen dan bonus ASB masih kekal tinggi di atas 8 peratus.

Menurut Mohamad lagi, Malaysia sedang menghadapi krisis keyakinan masyarakat kewangan antarabangsa.

Sehubungan itu, katanya, Kerajaan PH mesti fokus dalam menangani masalah ekonomi negara yang teruk ini, demi untuk kesejahteraan rakyat.