Malaysia Dateline

Mufti Perak Harussani Zakaria

Kerajaan gagal tunai janji bukan satu dosa, kata Mufti

Kegagalan kerajaan melaksanakan janji bukanlah satu dosa sekiranya mereka sudah mencuba sedaya upaya untuk merealisasikannya, kata Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria.

Sebaliknya, kata beliau jika tidak berusaha dan hanya berjanji, barulah itu dikira berdosa.

Katanya, kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang bersedia menanggung dosa sekiranya gagal tunaikan janji di dalam manifesto Pakatan Harapan adalah kenyataan bersifat pengakuan bahawa beliau akan melaksanakan janjinya.

“Ini adalah satu kenyataan yang membuat pengakuan bahawa beliau (Dr Mahathir) akan melaksanakan janjinya, kalau beliau tidak melaksanakannya akan menanggung dosa.

“Dr Mahathir benar-benar mahu melaksanakan janjinya tetapi sekiranya tidak berjaya ia bukanlah satu dosa,” katanya dipetik Sinar Harian.

Menurut beliau perlu dilihat dalam konteks usaha untuk merealisasikan janji yang dilafazkan.

Tegasnya, harus diingat bahawa manusia hanya berusaha tetapi yang menentukan berjaya atau tidak itu bukan di tangan mereka.

Sementara itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, dalam Islam dijelaskan juga apa yang berada di luar kemampuan seseorang manusia itu tidak dikira sebagai dosa.

“Kita sudah usahakan yang terbaik, memanglah asalnya janji mesti ditepati sedaya upaya tetapi setelah dicuba untuk menunaikan janji dan didapati tidak semua janji dapat ditunaikan dengan sebab yang tidak dijangka.

“ALLAH tahu bahawa manusia ada kelemahan dan pasti ada sebab kenapa manusia itu tidak mampu menunaikan janji itu,” katanya.

Kelmarin, Dr Mahathir dalam kenyataannya berkata, kerajaan bersedia menanggung dosa sekiranya gagal melaksanakan janji yang terkandung dalam manifesto PH pada PRU14 lalu.

Katanya, kerajaan sedar bahawa ada banyak rintangan yang menyukarkan usaha untuk melaksanakan janji itu.

Menurutnya, selepas 70 hari PH membentuk kerajaan baharu sejak Mei lepas, dua daripada 10 janji tersebut telah dilaksanakan, enam lagi dalam proses pelaksanaan manakala dua lagi belum dilaksanakan.