Kerajaan akan menggalakkan lebih banyak syarikat Malaysia supaya menerokai pasaran pelaburan di Indonesia, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Katanya pada tahun 2017, perdagangan dua hala Malaysia-Indonesia berjumlah RM72.63 bilion (USD16.89 bilion), menyaksikan pertumbuhan sebanyak 22 peratus berbanding tahun 2016.
Dari segi kerjasama ekonomi, Dr Wan Azizah berkata dalam pertemuan dengan 20 pemain industri Indonesia, mereka turut menyatakan minat untuk meningkatkan pelaburan di Malaysia.
“Angka itu sekali gus menjadikan Indonesia sebagai rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dan yang ketiga terbesar dalam kalangan negara-negara ASEAN selepas Singapura dan Thailand.
““Kolaborasi perdagangan akan ditingkatkan yang akan mendatangkan keuntungan kepada rakyat di kedua-dua negara,” ujarnya kepada media sebelum berangkat pulang ke Malaysia dalam lawatan seharinya ke Indonesia semalam lapor Bernama.
Beliau berkata walaupun lawatan itu hanya berlangsung selama sehari, namun ia memberi harapan kepada kedua-dua negara untuk meningkatkan keakraban antara negara serumpun.
Beliau menyifatkan lawatan kerja pertamanya ke Indonesia sebagai Timbalan Perdana Menteri sebagai berjaya mencapai matlamatnya dan diterima dengan begitu mesra oleh pemimpin negara jiran itu.
.“Saya menghargai sambutan baik yang diberikan Presiden Joko Widodo dan Naib Presiden Jusuf Kalla. Walaupun (jadual) padat, lawatan kerja pertama saya ini sangat signifikan, mencerminkan pentingnya Indonesia kepada Malaysia,” katanya.
Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata dalam pertemuannya dengan Menteri Pemberdayaan Perempuan dan Perlindungan Anak Indonesia Yohana Susana Yembise, perbincangan berkisar mengenai isu hak kanak-kanak dan komitmen kedua-dua negara terhadap Konvensyen mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC).