Malaysia Dateline

Kerajaan gesa sektor swasta cergaskan industri kelapa

Kerajaan menggesa sektor swasta untuk turut serta dalam usaha untuk mencergaskan semula industri kelapa.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub, berkata industri itu mampu menjana pendapatan dan kekayaan, dan membawa kemakmuran kepada petani dan pengilang.

“Kerajaan akan menggalakkan sektor swasta turut serta dan berkongsi teknologi dalam industri, dengan sektor swasta (peranan) menjadi syarikat utama untuk menggalakkan pekebun kecil (menanam kelapa),” katanya kepada media selepas Mesyuarat Peringkat Menteri serta Sesi Mesyuarat Bersama Komuniti Kelapa, Asia dan Pasifik ke-54 di Petaling Jaya, hari ini.

Salahuddin berkata pada tahun 1950-an hingga 1970, Malaysia merupakan pengeksport kelapa sebelum kemunculan kelapa sawit.

Beliau berkata kini negara mengimport kira-kira 120 juta kelapa setahun, terutama dari Indonesia untuk memenuhi keperluan domestik yang dianggarkan melebihi 650 juta kelapa setahun.

“Permintaan dalam negeri dijangka meningkat kepada 1 bilion kelapa menjelang 2020,” katanya.

Malaysia kekal sebagai antara 10 negara teratas pengeluar kelapa di dunia, dengan kelapa merupakan tanaman perindustrian keempat paling penting di Malaysia selepas kelapa sawit, getah dan padi.

Salahuddin berkata kelapa, bersama tanaman makanan lain seperti durian dan nanas, menyumbangkan tiga peratus kepada keluaran dalam negara kasar Malaysia (KDNK) selama lima tahun berturut-turut.

Beliau berkata Malaysia mempunyai pengalaman dalam perdagangan eksport berasaskan kelapa, yang meningkat 70.7 peratus daripada 18,481 tan metrik pada 2012 kepada 63,074 tan metrik pada 2016.

“Walaupun pertumbuhan positif, banyak lagi yang perlu dilakukan. Ini termasuk meningkatkan produktiviti serta menyesuaikan diri dengan keperluan pasaran yang dinamik,” katanya.

Salahuddin juga berkata Malaysia perlu meneroka teknologi baharu bagi memastikan negara dapat bersaing di peringkat antarabangsa.