Kerajaan gesa tubuh NWSC tangani kes mati lemas, kata Lee Lam Thye

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kerajaan sekali lagi digesa supaya menubuhkan segera Majlis Keselamatan Air Negara (NWSC)khusus untuk menangani serta membanteras kes-kes kemalangan air seperti lemas.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye berkata, insiden mati lemas di negara ini semakin membimbangkan, yang kini berlaku hampir setiap bulan.

Terbaharu, lima anggota sekeluarga lemas ketika mandi manda di Air Terjun Belukar Bukit di Hulu Terengganu semalam.

Semua mangsa yang berasal dari Selangor itu ialah Abdul Halim Samian, 44; isterinya Nurul Adila@Salawati Awang, 39; dan anak-anak – Nurul Arifah Abdul Halim, 16; Nurul Aina Abdul Halim, 11; dan Nurul Izah Abdul Halim, 10.

Dalam satu kenyataan, Lee berkata, “Ini (kes lemas) adalah satu perkara yang membimbangkan tetapi masih diabaikan. Di Malaysia, tidak ada satu pihak berkuasapun untuk menangani isu mati lemas”.

Lee berkata ini berbeza dengan kes kemalangan jalan raya yang terdapat banyak jabatan dan agensi kerajaan diberi kuasa bagi menangani isu berkenaan.

Dalam kes kemalangan di air, katanya, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta polis hanya menjalankan tugas menyelamat selepas menerima panggilan atau laporan.

Beliau mencadangkan keanggotaan NWSC terdiri daripada wakil-wakil dari agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarela, serta sektor swasta.

Lee berkata antara fungsi NWSC ialah menggalak serta meningkatkan kemahiran individu terutama pelajar berenang sebagai kemahiran hidup kritikal, di samping kemahiran menyelamat.

TAGS