Malaysia Dateline

Kerajaan golongan kayangan yang perlu dipimpin

Tugas utama Perdana Menteri Malaysia adalah untuk “memimpin”  negeri-negeri dan rakyat dalam negara Malaysia.

Namun apa yang  berlaku beberapa hari yang lepas adalah sebaliknya, di mana sebuah negeri diselatan semenanjung, bernama Johor, menunjuk jalan memimpin kepada perdana menteri ke arah tindakan yang sepatutnya untuk menangani krisis Covid 19.

Di atas titah DYMM Sultan Johor, ahli ahli DUN dan Parlimen Johor diminta ‘ bermesyuarat’ untuk mencari jalan penyelesaian krisis Covid 19. Rakyat menjunjung kasih atas inisiatif dan keprihatinan Tuanku yang berjiwa rakyat.

Walaubagaimana pun Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang ironisnya berasal dan merupakan ahli Parlimen dari Johor, memilih  untuk tidak hadhir.

Lebih ironis, atau mungkin secara kebetulan, hasil perbincangan mesyuarat dan juga cadangan DYMM Sultan Johor untuk “total lockdown” telah diumumkan oleh Perdana Menteri pada malam tadi.

Ramai yang berpendapat ia kelihatan seolah olah negeri telah menunjuk jalan memimpin kepada seorang Perdana Menteri yang lemah dalam isu kritikal Covid-19 ini.

Perdana Menteri memang telah lama kelihatan lemah mentadbir kerana ramai menteri menterinya dan golongan kluster kayangannya yang melanggar sop Covid seperti tidak kuarantin dan tiada memakai pelitup muka telah tidak dikenakan tindakan sewajarnya.

Tatkala Masjid dan surau diadakan kawalan larangan ketat, pusat judi Kasino Genting dibenarkan bebas beroperasi  dan menteri berkenaan berkata beliau tidak mengetahui ianya beroperasi.

Dengan bilangan anggota kerajaan 70 orang bertaraf menteri, iaitu bilangan tertinggi dunia, kerajaan ini masih gagal bertindak atau memberanikan diri untuk memimpin negara dengan bijaksana dan berwawasan.

Jadi kalau kerajaan yang besar tetapi lemah ini tiada wawasan, tiada kebijaksanaan, tiada watak kepimpinan dan tidak berani untuk sidang Parlimen, untuk apakah kerajaan ini wujud ?

Kerajaan dan Perdana Menteri yang tidak berwibawa dan bermaya untuk memimpin tetapi perlu dipimpin perlu lah dengan bermaruah menyerah pada mereka yang lebih layak untuk menerajui negara.

Lagi pun kerajaan ini bukan pun kerajaan yang dipilih oleh rakyat pada PRU 14 yang lepas.

Seperti diakui oleh Presiden PAS sendiri, kerajaan hari ini adalah kerajaan tebuk atap.

Oleh kerana mereka datang dari arah langit melalui atap yang ditebuk lah rakyat mengelar mereka golongan kayangan yang berlagak kebal serta tidak menghayati serta faham realiti masalah sebenar rakyat marhain di bumi yang nyata hari ini.