Malaysia Dateline

Kerajaan GPS nafi elak Undi18 jika DUN dibubar

Kerajaan negeri di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) menafikan cuba mengelak Undi18, sekiranya Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

Menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, GPS tetap menghormati Undi18 lebih-lebih lagi pindaan Perlembagaan Sarawak adalah bagi membolehkan mereka yag berumur 18 menjadi pengundi.

“Kerajaan GPS dengan ini menafikan cuba mengelak pelaksanaan Undi18 dengan ingin mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 sebelum tempoh tamat darurat.

“Dan kita juga menghormati Undi18 kerana pindaan Perlembagaan Sarawak bagi membolehkan mereka yag berumur 18 menjadi pengundi adalah dibuat oleh kerajaan GPS,” jelasnya dalam satu sidang media di Kuching hari ini.

Beliau yang juga pengerusi GPS menegaskan, kerajaan pimpinannya kini sangat memerlukan mandat baharu dari rakyat selari menerusi demokrasi Perlembagaan.

Ujar Abang Johari lagi, tiada sebab untuk kerajaan GPS takut dengan Undi18 kerana pindaan Perlembagaan Negeri bagi menurunkan umur pengundi daripada 21 kepada 18 dibuat oleh GPS sendiri.

“Saya sekarang jadi serba salah. Waktu ini adalah waktu kecederaan dan sekiranya kami masih ‘berlari’, orang kata kenapa masih mahu jadi Ketua Menteri sedangkan mandat sudah tidak ada.

“Kalau kita beri mandat kepada rakyat supaya pilih kerajaan, kononnya pula takut dengan Undi18.

“Kami sekarang sudah tamat tempoh dan menunggu sepakan penalti,” tambahnya