Malaysia Dateline

Kerajaan harus bertanggungjawab isu Pengawal Keselamatan Hospital Putrajaya, kata PSM

Parti Sosialis Malaysia (PSM) mendesak kerajaan Pakatan Harapan mengambil tanggungjawab dalam isu membabtikan pegawal keselamatan di Hospital Putrajaya tidak dibayar gaji untuk tempoh tiga bulan.

Penyelaras Biro Pekerja Nasional, Sivaranjani Manickam berkata, Kerajaan harus memandang serius isu ini dan mengambil langkah segera untuk menyelamatkan pekerja kontrak yang ditindas ini.

“Perubahan itu harus mula dari Kerajaan. Kita perlu kembali kepada zaman sebelum 80an dimana semua pekerja di premis Kerajaan adalah pekerja kerajaan. Keadaan ini harus dikembalikan.

“Kalau keadaan ini tidak diambil berat, satu hari nanti Menteri-menteri dan ketua Jabatan kena cuci tandas dan jadi pengawal keselamatan pula,” ujarnya dalam kenyataan.

Beliau berkata, hasil daripada kajian dan pemantauan pekerja kontrak di beberapa hospital Kerajaan terkejut apabila mendapati para pengawal keselamatan di Hospital Putrajaya tidak dibayar gaji untuk tiga bulan adalah memalukan dalam sistem pentadbiran kerajaan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia ini.

Kini hanya polis bantuan berdiri membantu tugasan keselamatan kerana para pekerja keselamatan tidak hadir kerja.

Pengawal keselamatan terbabit tidak dibayar gaji sejak bulan September,2018 oleh sebuah syarikat yang diberikan kontrak untuk menjaga keselamatan.

“Kami difahamkan bahawa pekerja-pekerja keselamatan yang tidak dibayar gaji ini sudah laporkan di Jabatan Tenaga Kerja dan Pejabat Majikan mereka dan juga kepada pihak Hospital tetapi nampaknya semua tidak dapat menyelesaikan masalah mereka!

“Putrajaya adalah Pusat Pentadbiran negara kita. Jika pekerja yang berada di Putrajaya pun tidak mendapat perlindungan bagaimana pula dengan pekerja-pekerja kontrak kerajaan di seluruh negara yang setiap hari mengalami perkara sebegini?

Sivaranjani juga mempersoalkan bagaimana kontraktor-kontraktor yang teruk sebegini mendapat tender Kerajaan?

Persoalan yang lebih pokok ujarnya lagi, mengapa pekerja-pekerja di premis kerajaan harus dijadikan pekerja kontrak dibawah syarikat swasta?

“Siapakah Kroni-kroni kerajaan yang mendapat keuntungan dengan sistem kontrak ini? Sistem kontrak adalah satu fenomena baru yang telah mengantikan pekerjaan tetap sebelum ini.

“Melalui sistem kontrak, pekerja hilang hak mereka – jaminan kerja, kenaikan gaji, gaji kerja lebih masa, faedah lain seperti cuti tahunan, cuti sakit dan lain-lain lagi.

“Pada tahun ini juga, pekerja-pekerja kontrak pembersihan di Mahkamah Jalan Duta lebih 120 pekerja tidak dibayar gaji lebih 4 bulan dan menyebabkan mereka tidak hadir kerja sehingga hakim dan staff mahkamah turun cuci tandas mahkamah,” ujarnya mengingatkan kerajaan pada kejadian yang pernah berlaku sebelum ini.