Malaysia Dateline

Kerajaan harus serius tangani gerakan pelampau runtuhkan institusi Raja-raja Melayu

Ketua Penerangan Pas Pusat Nasrudin Hassan berkata, terdapat gerakan pelampau terancang untuk meruntuhkan institusi Raja-raja Melayu dan sekaligus menghidupkan budaya anarkisme dan ekstimisi sosialis di negara ini.

“Kita bimbang, ia adalah tindakan terancang untuk meruntuhkan institusi Raja-raja Melayu sekaligus bermaksud menghidupkan budaya anarkisme dan ekstrimisme sosialis dalam negara ini.

“Gerakan pelampau mesti ditangani secara serius oleh pemerintah dan diharapkan masyarakat Malaysia yang kaya dengan budi pekerti tidak terjebak* dalam gerakan pelampau ini. Sederhana dalam semua perkara,” ujarnya dalam kenyataannya.

Beliau juga berkata perbuatan menghina dan mengkritik keterlaluan terhadap Yang Dipertuan Agong Sultan Muhammad V tidak wajar dilakukan kerana rasa tidak puashati terhadap baginda.

“Meskipun timbul rasa tidak puas hati terhadap YDPA Sultan Muhammad ke V, ia tidak boleh menjadi tiket untuk menghina dan mengecam. Sementelah YDPA adalah sebuah institusi yang menjadi payung negara.

“Perbuatan menghina dan mengkritik secara keterlaluan itu bukan sahaja mencemar budaya ketimuran malah mencetus ketegangan dan mengganggu keharmonian masyarakat dalam negara ini,” ujarnya.

Justeru katanya lagi, gerakan pelampau mesti ditangani secara serius oleh pemerintah dan masyarakat Malaysia yang kaya dengan budi pekerti tidak terjebak dalam gerakan pelampau ini.
“Sederhana dalam semua perkara,” tegasnya lagi.