Kerajaan harus terap konsep ‘pertanian pintar’ tingkatkan sektor ekonomi negara

Kerajaan harus terap konsep ‘pertanian pintar’ tingkatkan sektor ekonomi negara

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani disarankan agar menerapkan konsep ‘pertanian pintar’ secara terperinci sejajar dengan dasar pertanian baharu supaya bidang pertanian  akan terus berkembang sebagai sektor utama ekonomi negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir Faiz Fadzil berkata, Dasar Agro Makanan Negara 2011-2020 akan berakhir dalam masa dua tahun yang akan datang.

Sedangkan 30 peratus KDNK yang disumbangkan oleh bidang peprtanian kini jatuh meyusut kepada 8.2 peratus pada 2017 berbanding tiga dekat lalu akibat perkembangan industri tempatan dan juga bidang perkhidmatan.

“Pada tahun 1970, hampir 30 peratus daripada KDNK telah disumbangkan oleh bidang pertanian.

“Namun begitu peratusan ini telah jatuh mendadak kepada 8.2 peratus pada tahun 2017 kesan daripada dominasi penanaman komoditi dalam bidang pertanian tempatan disebabkan nilai komersialnya yang lebih tinggi.

“Ini telah mengakibatkan hasil pertanian seperti sayur-sayuran dan buah-buahan terus lemah dari aspek saiz keluaran maupun sumbangan kepada ekonomi, ” ujarnya.

Sebelum itu beliau menyampaikan sumbangan kepada 25 orang bakal jemaah haji di Dun Permatang Pasir malam tadi.

Menurut Faiz yang juga Timbalan Ketua Pemuda AMANAH, isu ini harus dipandang serius oleh kerajaan dan perlu diberikan nafas baru bagi sektor pertanian tempatan khususnya hasil tanian sumber makanan.

“Untuk merealisasikan hasrat ini, sektor pertanian negara memerlukan perubahan struktur pada skala besar yang dipacu menerusi Revolusi Pertanian Pintar (RPP) atau ‘smart farming’ bagi menyuburkan kembali bidang ini.

“RPP sebenarnya merujuk kepada penggunaan dan pengintegrasian teknologi tinggi dengan lebih meluas dalam bidang pertanian untuk meningkatkan kuantiti dan kualiti hasil tuaian tanaman demestik.

“Sebagai contoh ‘drone’ boleh digunakan untuk menyembur racun serangga, menganalisa tanah penanaman dan memantau hasil tanaman dengan cepat tanpa menggunakan tenaga kerja yang ramai, ” katanya.

Faiz Fadzil (kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang bakal haji di Dun Permatang Pasir

Selain itu katanya, alat pengesan atau ‘sensor’ yang berasakan ‘Internet of Things’ (IoT) boleh digunakan untuk menghantar data maupun maklumat berkaitan tanaman dengan serta merta untuk tindakan lanjut oleh para petani.

“Sektor pertanian negara ini sudah tidak harus bergantung kepada teknologi lapuk dan harus bergerak kearah penggunaan teknologi terkini aras tinggi.

“Ia termasuklah ‘Big Data’ yang boleh diakses untuk merombak rantaian bekalan atau ‘supply chain’ pertanian tempatan.

“Negara luar seperti Australia pada tahun 2017 telah pun menyediakan geran berjumlah AUS60 juta bagi mengukuhkan pertanian pintar, manakala China turut memberi fokus terhadap aplikasi IoT dalam bidang pertanian menerusi Pelan Lima Tahun yang ke 13, ” tambahnya lagi.

Rancangan ini ujarnya, telah pun dilaksanakan di lapan Wilayah China melalui pengenalan 426 aplikasi, teknologi dan juga produk.

“Antara punca utama disebalik kurangnya penggunaan teknologi dalam sektor pertanian negara ini adalah kos permulaan yang tinggi serta kurangnya pengetahuan dikalangan pengusaha tani dan keengganan para petani untuk mengintegrasikan teknologi terkini.

“Kementerian Pertanian dan Asas Tani perlu mencari penyelesaian yang komprehensif dan terperinci untuk membantu para petani yang menghadapi masalah kos permulaan yang tinggi dengan mewujudkan konsep kluster di kawasan-kawasan pertanian tertentu.

“Tanah penanaman petani boleh dikumpulkan menjadi sebuah kluster dan geran diberi oleh kerajaan untuk para petani mengakses teknologi pertanian pintar bersama, ” sarannya lagi.

Beliau juga berkata, masalah kekurangan tenaga kerja muda dalam sektor pertanian yang menjadi penghalang kepada pengaplikasian teknologi, kerajaan boleh menyediakan geran bagi perniagaan baru atau ‘start-up’ yang berteraskan pertanian.

“Bagi menyediakan tenaga mahir dan separa mahir bagi tujuan melestarikan revolusi teknologi, intipati pengajian TVET perlu ditekankan kepada industri pertanian.

“Sekiranya penekanan ini berjaya dilaksanakan, peluang pekerjaan dikalangan golongan muda dan generasi akan datang akan terbuka lebih luas dan kompetitif.

“Kebergantungan kepada tenaga kerja warga asing secara tidak langsung akan mampu dikurangkan, ” ujarnya.

9.0
OVERALL SCORE
: 10.0
1 user vote x 8.0