Kerajaan harus waspada tubuh jawatankuasa pertahanan Malaysia-China

Kerajaan harus waspada tubuh jawatankuasa pertahanan Malaysia-China


Kerajaan diingatkan berhati-hati dan seharusnya lebih peka kepada pandangan negara serantau yang menjalin hubungan pertahanan dan keselamatan di perairan Laut China Selatan dan Selat Melaka.

 

Kerajaan diingatkan berhati-hati dan seharusnya lebih peka kepada pandangan negara serantau yang menjalin hubungan pertahanan dan keselamatan di perairan Laut China Selatan dan Selat Melaka.

Pandangan ini dilontarkan pesara tentera Bridgedier Jeneral Datuk Mohd Arshad Raji ketika diminta mengulas mengenai penubuhan sebuah jawatankuasa tertinggi antara Malaysia dan Cina dalam masa terdekat ini.

Jawatankuasa itu bertujuan bagi mengukuhkan aspek pertahanan kedua-dua negara seperti dimaklumkan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein ketika bertemu Menteri Pertahanan China Jeneral Chang Wanquan di Kementerian Pertahanan pada 23 Mac lalu.

“Kerajaan harus berhati-hati dalam kegairahan negara ini untuk menjalin hubungan pertahanan dengan sebuah kerajaan seperti negara China yang mengamalkan ideologi yang amat berbeza dengan Malaysia.

“Kerajaan juga harus sensitif dengan pandangan negara jiran atau lain-lain negara yang telah lama mempunyai hubungan pertahanan dan keselamatan dengan Malaysia,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Malaysia katanya lagi, mempunyai Perjanjian Pertahanan Bilateral dan Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA). FPDA adalah hubungan pertahanan melalui persetujuan berbilang negara membabitkan Malaysia, Singapura, United Kingdom, Australia dan New Zealand yang ditandatangani pada 1971 yang mana kelima negara akan saling menyalurkan bantuan jika terdapat serangan pertahanan terhadap Malaysia atau Singapura.

“Saya tidak yakin mereka berbincang dengan negara-negara ini. Malaysia sewajarnya lebih nutural sebaliknya Malaysia lebih bias kepada China.

“Negara mana yang akan dipertahankan oleh Malaysia jika bila berlaku pertikaian ekonomi dan ketenteraan membabitkan negara China?

“Ini kerana Malaysia tidak boleh menghalang laluan kapal perdagangan atau kapal ketenteraan melalui persisir Laut China Selatan dan Selat Melaka,” terangnya.

Walaupun tidak menyalahi undang-undang antarabangsa tindakan Malaysia itu, ujarnya lagi, akan mendatangkan kebimbangan pada negara-negara ahli di laluan dua lautan utama itu terutamanya kepada pertahanan Singapura.

“Kita nak tahu juga adakah dengan menjalin hubungan pertahanan dengan negara China ini akan menjejaskan hubungan pertahanan kita bersama negara-negara FPDA dan negara di mana kita mempunyai hubungan bilateral dengan mereka?,”soalnya.

Pengalaman beliau sebelum ini pernah mengetuai pasukan Pengaman Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak menafikan negara China kini bercita-cita untuk mendominasi Malaysia dan negara serantau melalui pintu perdagangan dan ketenteraan.

Datuk Seri Hishamuddin  Hussein (dua dari kanan) ketika bertemu Jeneral Chang Wanquan (dua dari kiri) di Kementerian Pertahanan pada Mac lalu merancang  menubuhkan sebuah Jawatankuasa untuk mengukuhkan aspek pertahanan dua negara.

EPU tidak berfungsi

Arshad berkata, segala-galanya bermula di bawah Unit Perancang Ekonomi (EPU) dakwanya, sudah hilang peranan dan matlamat ketika ia ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri itu.

Beliau berkata, sebelum sebarang usaha sama kerajaan dalam melaksanakan projek mega antara ‘Government to Government (G2G) atau ‘Busines to Busines'(B2B) dimeterai, EPU adalah unit yang sangat penting mencari sumber, mengkaji dan menilai sesuatu pelaburan ke negara ini.

“Saya beranggapan EPU tidak berfungsi seperti sepatutnya ketika pelaburan dari negara China ke Malaysia ini dirancang.

“Tiba-tiba rakyat dimaklumkan negara membawa masuk pelaburan dari negara China berbilion ringgit sedangkan perkara ini tidak dibincangkan di dalam kabinet.

“Zaman Tun Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad) kerajaan akan berbincang di kabinet dan kemudian dibawa ke EPU.

“Tetapi saya yakin ia tidak berlaku sedemikian di bawah pimpinan Najib (Datuk Seri Mohd Najib Razak) dalam isu pelaburan China ke negara ini, EPU tidak berfungsi,” dakwanya.

Ubah kerajaan

Beliau turut menyebut beberapa projek yang boleh menjejaskan kedaulatan dipersisir Selat Melaka dan Laut China Selatan.

Ia dilihat akan menjadi masalah besar dalam negara selain beban hutang kepada China dalam beberapa projek mega yang dimeterai membabitkan enam bidang keutamaan selain isu ketenteraan.

“Hal ini hanya boleh diubah sekiranya rakyat menukar kerajaan yang ada pada hari ini.

“Selagi kerajaan BN memerintah saya tidak pasti pelaburan ini akan dihentikan atau dikaji semula.

“Sekarang ini kita lihat dari utara hingga selatan tanah air akan dikawal negara China apabila mereka membina pelabuhan-pelabuhan perdagangan di Melaka, Kuantan dan Kedah”, ujarnya.

Beliau merujuk kepada beberapa projek pelaburan bernilai RM144 bilion, membabitkan 14 perjanjian usaha sama secara langsung dengan negara China.

Bagaimanapun beliau berpandangan antara projek berpotensi mengancam kedaulatan negara berkaitan pembinaan Bandar Malaysia, Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan Melaka Gateway di bawah projek ‘One Belt One Road’ yang digagaskan China untuk ekonomi dan kenteraan negara itu di rantau Asia dan Asia Tenggara sama ada di laluan darat mahupun laut.

Beliau berkata projek mega Bandar Malaysia yang akan menukar tapak sejarah Lapangan Terbang Antarabangsa Sungai Besi yang pertama dibina pada 1956 itu,seharusnya dikekalkan lokasi dan operasinya di situ.

Tindakan kerajaan menerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk menjual 60 peratus kepentingan dalam projek Bandar Malaysia kepada Iskandar Waterfront Holdings dan rakan kongsinya, China Railway Engineering Corp kendalian negara itu, pada harga RM7.41 bilion juga mengancam pertahanan negara.

” Ia sebuah tapak sejarah dan stategik sebenarnya. Ia boleh dijadian satu landasan strategik ketika berlaku kecemasan di kawasan tengah bandar.

“Di United Kingdom mereka tidak menjual tapak lapangan terbang dan kem-kem ketenteraan lama kerana ia adalah lokasi strategik pada sebuah negara dari segi kepentingan pertahanan mereka,” ujarnya.

Lokasi strategik keselamatan bandar: Landasan lapangan Terbang Antarabangsa Sungai Besi yang sekian lama menjadi lokasi untuk  pendaratan  polis, tentera dan orang kenamaan kini akan dibangunkan menjadi Bandar Malaysia.

Tambah Arshad lagi, Malaysia kini dilihat terlalu rapat dengan China sehingga tidak mengawal keterbatasan hubungan politik antara dua negara.

“Masuk akal ke pemimpin Umno-MCA boleh bawa wakil pelabur iaitu duta negara China melawat sekolah jenis kebangsaan Cina dan menteri pertahanan pula bawa duta melawat kawasan parlimennya.

“Jangan kaitkan mana-mana pelabur dengan politik dalam negara ini walaupun ia bertujuan untuk menunjukkan sejauhmana negara berjaya laksanakan dasar-dasar sedia ada.

“Bagi saya ini soal keselamatan negara, tidak semudah itu kita menjalinkan hubungan diplomatik antara dua negara hingga mereka boleh dibawa melawat kawasan,” ujarnya.

Beliau merujuk kepada lawatan, duta besar China ke Malaysia Huang Huikang bersama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong dan Adun MCA Teoh Yap Kun untuk melakukan lawatan ke kawasan Parlimen Semborong dan kawasan Dewan Undangan Negeri Paloh pada tahun lalu.

Arshad   turut mendakwa terdapat ahli politik dan rakan yang masih berkhidmat dalam angkatan tentera menyedari akan risiko pelaburan yang boleh menggugat kedaulatan negara tetapi ujarnya, mereka lebih senang mengambil sikap membisu.

“Saya agak kecewa apabila mengetahui mereka tahu akan isu keselamatan dan kedaulatan negara ini akan terjejas tetapi mereka tidak mahu bersuara.

“Saya faham sebab mereka membisu. Buat saya marah pada mereka sedangkan  mereka masih lagi berkhidmat sewajarnya dapat menerangkan akan hal ini kepada pemimpin atasan.

“Sekurang-kurangnya kita nak tahu sama ada Malaysia berunding secara terbuka melibatkan kepakaran kita.

“Termasuklah sama ada kita terbabit secara lansung dari segi rundingan dan sebahagian daripada kumpulan pengurusan dalam merangka projek-projek mega yang akan dilaksanakan di negara ini.

“Saya tidak ada apa-apa kepentingan tetapi saya mengambil perhatian dan merasa bimbang kemungkinan yang akan berlaku di masa hadapan terhadap kepentingan negara ini.

“Adakah kita bersedia jika ia berlaku kelak?,” soalnya yang menelah kerajaan tidak berunding dengan pakar membabitkan pasukan tentera dan polis berkaitan dengan isu keselamatan dan kedaulatan negara mengenai pelaburan China ke negara ini.

TAGS