Kerajaan hasrat perkemas akta berdasarkan keselamatan negara, prinsip keadilan

Kerajaan hasrat perkemas akta berdasarkan keselamatan negara, prinsip keadilan

Pindaan atau pemansuhan sesuatu akta perlu dibuat secara berhati-hati dengan mengambil kira keresahan dalam kalangan rakyat di samping tidak mengenepikan keperluan keselamatan negara, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata hasrat kerajaan pada masa ini ialah bagi memperkemaskan lagi akta yang telah dikenal pasti sama ada melalui pemansuhan secara menyeluruh atau pindaan peruntukan tertentu dalam akta itu.

Perdana Menteri berkata langkah itu supaya akan terdapat keseimbangan di antara keperluan penjagaan hak, kepentingan dan keselamatan negara dengan hak asasi manusia serta prinsip keadilan yang diinginkan oleh rakyat.

“Namun ia perlulah dilaksanakan selepas kajian yang mendalam dan berhati-hati supaya negara ini dapat ditadbir dengan baik dan kemakmurannya dapat dikecapi bersama,” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr R. Santhara Kumar (PH-Segamat) yang ingin tahu status pemansuhan beberapa akta yang dianggap zalim dan drakonian, seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan.

Perdana Menteri berkata kerajaan pada hari ini, seperti mana janji Manisfesto Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum yang lepas, telah pun mengenal pasti beberapa undang-undang yang perlu dikaji, dipinda atau dimansuhkan.

Akta-akta itu ialah Akta Hasutan 1948 [Akta 15]; Akta Pencegahan Jenayah 1959 [Akta 297]; Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301]; Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 [Akta 747]; dan Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 [Akta 776].

Dr Mahathir berkata dalam hal ini, pihak kerajaan melalui kementerian yang berkaitan dan dibantu oleh Jabatan Peguam Negara akan mengambil tindakan susulan yang mana berkaitan.

“Ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan sebenarnya tidak mengabaikan janji-janji yang telah dibuat malah mengambil tindakan untuk meneliti setiap peruntukan dalam undang-undang yang berkenaan secara terperinci sebelum sesuatu keputusan bagi meminda atau memansuhkan undang-undang itu dimuktamadkan,” katanya.

Beliau berkata sebagai sebuah kerajaan yang mendukung penuh undang-undang, pindaan atau pemansuhan sesuatu akta perlu dibuat secara berhati-hati kerana prinsip asal semasa akta-akta itu digubal dan seterusnya diluluskan bertujuan untuk menjaga hak, kepentingan dan keselamatan rakyat secara keseluruhannya.

“Misalnya, Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 [Akta 747], atau lebih dikenali sebagai SOSMA, digubal dan diluluskan bertujuan untuk menentang perbuatan subversif dan tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam.

“Pihak Kementerian Dalam Negeri terutamanya pihak Polis Diraja Malaysia berpendirian SOSMA ini masih diperlukan dalam mengekalkan ketenteraman awam, menjamin keselamatan dan membendung aktiviti jenayah di negara ini,” katanya.

Dr Mahathir berkata bagaimanapun terdapat ruang bagi ia disalah guna untuk kepentingan tertentu sekali gus menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat dan sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, keresahan yang dibangkitkan itu perlu diambil kira di samping tidak mengenepikan keperluan keselamatan negara.

Menjawab soalan tambahan Santhara tentang pendirian kerajaan terhadap rakyat yang terpedaya dengan menderma kepada organisasi yang menaja kumpulan pelampau tanpa mereka sedari, Perdana Menteri berkata terserah kepada polis untuk membuat pertimbangan.

“Kadang kala pihak berkuasa tidak ada bukti yang cukup kuat, contohnya apabila seseorang itu terperangkap mengambil gambar dengan orang yang kemudiannya dikenali sebagai pengganas, sedangkan dia tak kenal orang itu, atau ada yang dia beri bantuan wang RM200 atau RM300 untuk membantu tanpa mengetahui ia berkaitan pengganas.

“Ini terpulang kepada pihak polis untuk mengasingkan tuduhan yang tidak cukup asas dan yang cukup jelas membawa ancaman kepada keselamatan negara, malah kerajaan telah mengkaji semula undang-undang di mana kita perlu asingkan jenayah yang ringan dan jenayah yang membawa kemudaratan dan mengancam keselamatan negara,” katanya.– BERNAMA