Malaysia Dateline

Kerajaan ikut saranan PH, harga kit ujian kendiri kini RM4.90

Pakatan Harapan pernah menyarankan harga siling yang sesuai untuk kit ujian kendiri RTK-Antigen adalah sekitar RM5.00, hari ini saranan itu telah dilaksanakan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengumumkan harga kit ujian pantas (RTK) antigen COVID-19 yang menggunakan sampel air liur kini boleh dibeli di pasaran serendah RM4.90 tanpa menjejaskan kualiti alat tersebut.

Sebelum ini, setiap kit ujian antigen pantas itu dijual antara RM6.60 dan RM6.90 bergantung kepada jenama.

Melihat pada penularan COVID-19 yang masih tinggi dalam negara, katanya peranti itu kini menjadi sebahagian daripada keperluan setiap isi rumah.

“Dengan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi, pekerjaan, sekolah dan institusi pengajian, semestinya keperluan untuk membuat ujian kendiri ini menjadi lebih mendesak dan perlu dilakukan dengan kerap.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sentiasa mendengar keluhan rakyat yang terkesan dengan penjualan set ini yang dijual pada harga tinggi, sebelum ini,” katanya.

Awal September lalu, Jawatankuasa Kos Sara Hidup Pakatan Harapan meminta harga kit ujian kendiri dengan harga RM5.00 wajar diperkenalkan pada hujung bulan November tahun ini.

Setakat ini, KPDNHEP memberikan kebenaran kepada 7,302 premis di seluruh negara untuk menjual kit ujian kendiri ini yang telah diberikan kebenaran KKM dan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA).

Di kedai serbaneka 99 Speedmart yang sudah mula menjual peranti tersebut dengan harga serendah RM4.90 seunit.