Malaysia Dateline

Kerajaan import telur ayam untuk pastikan bekalan mencukupi

Menyedari kekurangan bekalan telur ayam, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu memaklumkan kementeriannya telah mengenalpasti beberapa sumber dari luar untuk menampung keperluan bekalan telur ayam dalam negara.

Keputusan itu kata beliau diambil bagi memastikan keterjaminan telur ayam kekal di pasaran.

Bagaimanapun Mohamad menegaskan, inisiatif membawa masuk telur ayam dari sumber luar bukan untuk menekan pengusaha industri telur ayam tempatan, sebaliknya bagi memastikan bekalan telur ayam dalam negara tidak terputus dan kebajikan rakyat terjaga.

Keperluan membawa masuk telur ayam dari sumber luar juga akan dikaji semula setelah bekalan telur ayam kembali stabil.

“Saya juga telah meminta Ketua Setiausaha Kementerian untuk melihat impak mengimport telur ayam dari sumber luar kepada industri telur ayam tempatan sedia ada.

“…..dan meminta Agrobank untuk mengemukakan cadangan bagi membantu pembekal dan pengusaha kecil supaya mereka kekal berdaya saing dalam industri ini,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Kadar penggunaan purata telur ayam dalam kalangan rakyat Malaysia sebanyak 968 juta biji sebulan.

Kementerian Pertanian memberi jaminan akan memastikan telur ayam yang diterima selamat daripada penyakit dan menepati piawaian yang ditetapkan.

Segala protokol dan tatacara yang ditetapkan kerajaan perlu dipatuhi tanpa kompromi.

“Kementerian sentiasa berusaha dengan pelbagai pendekatan bagi menjamin bekalan telur ayam negara kembali stabil dengan harga yang kompetitif.

“Kementerian yakin isu kekurangan bekalan telur ayam dapat diselesaikan dalam masa terdekat dengan kerjasama pelbagai pihak,” ujarnya.

Baca juga: “Please don’t do that”- Lepas Abah dan Pak Long, netizen terhibur Anwar tidak mahu dipanggil papa

Baca juga: [VIDEO] Semangat membantu rakan tu dah ada, tapi ada sesuatu yang buat netizen geli hati…