
Kerajaan India mahu televisyen tidak siar rancangan aksi kanak-kanak kurang sopan
Kerajaan India mahu saluran televisyen tidak menyiarkan rancangan realiti memaparkan aksi kurang sopan oleh kanak-kanak yang mempersembahkan tarian popular Bollywood.
Kementerian Penerangan dan Penyiaran berkata, pihaknya mendapati banyak rancangan televisyen berkonsepkan tarian, menayangkan aksi kanak-kanak melakukan gerakan tarian dalam filem yang kebiasaannya ditarikan golongan dewasa.
Persembahan tarian itu sering kelihatan “tidak senonoh dan tidak sesuai dengan usia kanak-kanak”.
Banyak rancangan televisyen hiburan di India mengundang kanak-kanak mengambil bahagian dalam pertandingan realiti, di mana mereka meniru tarian lagu-lagu filem popular.
Justeru, kerajaan menasihatkan semua saluran televisyen swasta “untuk mengelakkan aksi kanak-kanak yang kurang sopan dalam sebarang program realti mahupun rancangan televisyen lain” kerana ia boleh memberikan kesan negatif kepada perkembangan kanak-kanak.- BERNAMA