Kerajaan India sokong penuh tindakan Malaysia tangani isu rusuhan kuil

Kerajaan India sokong penuh tindakan Malaysia tangani isu rusuhan kuil

Kerajaan India menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan yang diambil oleh kerajaan Malaysia dalam menangani isu insiden di Kuil Sri Maha Mariamman serta tidak akan mencampuri urusan negara ini.

Menurut Wisma Putra, jaminan itu dinyatakan oleh Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia Shri Mridul Kumar dalam perbincangan dengan Kementerian Luar.

Perbincangan dengan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia itu diadakan susulan memorandum yang diserahkan oleh Presiden Hindu People’s Party Arjun Sampth kepada Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai pada Rabu lepas, demikian menurut kementerian tersebut dalam kenyataan hari ini.

Wisma Putra berkata memorandum daripada parti yang juga dikenali sebagai Hindu Makkal Katchi itu mengutuk insiden terbabit dan mendakwa kerajaan bersikap berat sebelah terhadap penganut Hindu di Malaysia selain menyalahkan kerajaan kerana tidak mengambil sebarang tindakan berhubung insiden tersebut.

“Kerajaan Malaysia memandang serius kenyataan yang dibuat oleh Hindu Makkal Katchi tanpa usul periksa yang dilihat sebagai tidak bertanggungjawab dan mempunyai niat jahat untuk mengeruhkan hubungan dua hala yang baik di antara Malaysia dan India,” kata Wisma Putra.

Wisma Putra berkata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semasa bercakap di Parlimen juga telah menyatakan dengan jelas bahawa insiden perbalahan tersebut merupakan kes jenayah dan tidak mempunyai kaitan dengan sentimen perkauman.

Hindu Makkal Katchi merupakan sebuah parti politik kecil berhaluan kanan dan ekstremis di Tamil Nadu, India.

Insiden kekecohan yang berlaku pada awal pagi Isnin dan Selasa lepas berikutan perbalahan mengenai perpindahan kuil itu ke tapak baharu bukan sahaja menyaksikan kemusnahan puluhan kenderaan yang dibakar tetapi turut menyebabkan seorang anggota bomba cedera parah kerana dipukul oleh kumpulan perusuh.

Muhammad Adib Mohd Kassim kini dirawat di Institut Jantung Negara dan keadaannya dilaporkan kritikal namun stabil.

Setakat semalam, polis telah menahan 42 individu bagi membantu siasatan kes rusuhan tersebut.

— BERNAMA