Kerajaan Iraq lancar dana pembangunan sosial untuk perangi kemiskinan

Kerajaan Iraq lancar dana pembangunan sosial untuk perangi kemiskinan

Kerajaan Iraq pada Rabu melancarkan Dana Sosial bagi Pembangunan (SFD) dengan modal permulaan US$300 juta, yang bertujuan mengurangkan kadar kemiskinan di negara yang terjejas akibat peperangan itu.

SFD ditubuhkan dengan kerjasama pertubuhan masyarakat sivil di bawah sokongan Bank Dunia terhadap pelan strategik kerajaan Iraq, lapor agensi berita China Xinhua.

“SFD akan memulakan operasi berdasarkan hasil kajian pembangunan di kawasan luar bandar di tiga wilayah dalam tahap pertama; al-Muthanna iaitu antara wilayah termiskin di Iraq, Salahuddin sebagai yang paling terjejas dan termiskin di kawasan luar bandar, serta Dohuk sebagai antara wilayah yang menerima sejumlah besar pelarian terdiri daripada orang tersingkir yang lari dari pertempuran untuk membebaskan diri daripada pengganas IS (Daesh),” kata Menteri Perancangan Iraq, Nouri Sabah al-Dulaimi, dalam satu sidang akhbar di Baghdad.

“Empat wilayah akan dimasukkan dalam rangka kerja peruntukan dana itu bagi tahun kedua, dan semua wilayah akan diliputi pada tahun ketiga,” kata al-Dulaimi.

Menteri itu turut mengesahkan bahawa SFD akan menyokong akses kepada perkhidmatan asas untuk rakyat di semua wilayah terbabit, terutama dalam bidang pendidikan, kesihatan, penciptaan peluang pekerjaan dan pembinaan kapasiti belia.

“Kerajaan Iraq berjaya memperoleh bantuan tanpa faedah daripada Bank Dunia,” kata al-Dulaimi.

Al-Dulaimi turut meminta semua penderma antarabangsa meningkatkan bantuan mereka kepada pelan strategik kerajaan Iraq, untuk menyediakan perkhidmatan terbaik dan memperbaiki keadaan hidup rakyat.

Al-Dulaimi berkata punca kegagalan pelan terdahulu, yang membawa kepada peningkatan kadar pengangguran dan kemiskinan, adalah penggantungan usaha dan ketiadaan bimbingan optimum.

Menurut Bank Dunia, SFD Iraq merupakan satu projek lima tahun.

Objektif pembangunan projek SDF bagi Iraq ialah untuk meningkatkan akses kepada perkhidmatan asas dan peluang pekerjaan jangka pendek di komuniti sasaran dengan jumlah kos sebanyak US$300 juta.

Isam al-Khalidi, seorang pakar sosioekonomi, memaklumkan Xinhua bahawa “pelancaran dana sosial bagi pembangunan ekonomi adalah penting dan merupakan langkah utama kerajaan Iraq untuk mengurangkan fenomena kemiskinan di  negara itu, dengan kerjasama masyarakat sivil serta pertubuhan antarabangsa.”

“Langkah penting ini dibuat selaras dengan pelan strategik yang ditetapkan oleh Kementerian Perancangan yang berpunca daripada keadaan semasa di kawasan luar bandar dalam wilayah-wilayah Iraq berdasarkan kadar deprivasi,” kata al-Khalidi.

— BERNAMA