Sistem saraan baharu yang bakal diperkenalkan kelak membabitkan lantikan baharu dijamin tidak akan merugikan penjawat awam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Zaliha Mustafa berkata, kerajaan juga akan memastikan sistem itu mempunyai elemen yang dapat menarik bakat terbaik negara.
Jelas Zaliha, sistem saraan perlu dipinda kerana tanggungan skim pencen sebelum ini memberi implikasi kewangan yang semakin besar kepada kerajaan setiap tahun.
Pindaan ini dijangka dapat mengoptimumkan pengambilan dan pengisian jawatan dalam perkhidmatan awam melalui kaedah lantikan baharu yang sedang dirangka.
“Pada 2023, jumlah perbelanjaan pencen adalah RM32.01 bilion dan dijangka mencecah RM46.36 bilion pada 2030. Secara purata, unjuran kenaikan jumlah bayaran pencen adalah hampir RM2 bilion setahun.
“(Unjuran ini) akan semakin meningkat dari tahun ke tahun. Keperluan pindaan kepada semua peruntukan undang-undang yang berkaitan bagi tujuan kaedah baharu lantikan tetap penjawat awam turut diperhalusi sewajarnya.
“Kaedah pelantikan yang sedang dirangka akan dipastikan tidak merugikan penjawat awam lantikan baharu,” katanya melalui jawapan bertulis menjawab soalan Azahari Hasan (PN-Padang Rengas) di Parlimen memetik laporan Berita Harian.
Kakitangan kerajaan di bawah kaedah lantikan baharu ini bagaimanapun tidak perlu bimbang kerana mereka akan turut memegang status ‘pegawai awam’ yang tertakluk kepada semua perundangan dan peraturan berkaitan.
Perkara ini bermakna, mereka bakal menerima gaji, elaun serta kemudahan sama seperti yang dinikmati pegawai lantikan tetap dan berpencen sedia ada termasuk Imbuhan Tetap Keraian (ITK) dan Imbuhan Tetap Perumahan (ITP).
Zaliha turut memaklumkan, keputusan berhubung struktur gaji baharu penjawat awam juga dijangka bakal diumum dalam pembentangan Belanjawan 2025 tahun ini.
Penambahbaikan ini adalah salah satu fokus kerajaan dalam memperkasakan modal insan perkhidmatan awam untuk memangkin peningkatan produktiviti penjawat awam.
“Cadangan penambahbaikan struktur gaji dijangka akan dimuktamadkan dan dibentangkan kepada Jemaah Menteri selewat-lewatnya awal suku kedua tahun ini untuk kelulusan.
“Keputusan berkenaan struktur gaji baharu penjawat awam ini dijangka boleh diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2025 tahun ini,” ulasnya menjawab soalan Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan).