Malaysia Dateline

Kerajaan jangan biarkan kadar pengangguran melonjak, ambil peduli dengan segera

Kerajaan seharusnya peduli dan tidak terus membiarkan statistik kadar pengangguran khususnya dikalangan anak muda dan golongan siswazah terus melonjak meningkat naik.

Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, Muhammad Adzlan Adzhar ketika dihubungi berkata, kerajaan sepatutnya lebih memberi perhatian kepada golongan belia dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta meneroka peluang baru bagi anak muda.

“Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malayaia, kadar pengangguran melonjak kepada 5.0 peratus dan kadar ini meningkat 48.8 peratus berbanding tahun sebelumnya kepada 778 ribu orang serta ia merupakan peningkatan tertinggi sejak 34 tahun lalu.

” Manakala pengangguran dikalangan graduan pula terus meningkat berbanding tahun sebelumnya apabila statistik Siswazah 2020 menunjukkan bilangan penganggur siswazah mencecah 28 peratus atau seramai 202,400 orang.

” Angka ini amat meresahkan apabila harga barangan terus meningkat naik, maka jurang pengangguran dikalangan graduan terus melebar dan bagaimanakah caranya anak muda mampu untuk bertahan serta apakah kerajaan sedia ada peduli terhadap nasib golongan ini,” soal beliau yang juga merupakan Ketua AMK Cabang Balik Pulau ketika dihubungi.

Persoalannya kata beliau, mampukah anak muda mengharapkan kerajaan membela nasib mereka sedangkan realitinya menunjukkan sebaliknya.

Sejajar dengan itu sarannya, kerajaan harus segera memberi lebih perhatian kepada golongan belia dan siswazah yang menganggur dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan meneroka sektor baru.

Tambah beliau lagi, pakej rangsangan yang diperkenalkan ketika ini dilihat belum cukup untuk membantu mengurangkan masalah pengangguran apatah lagi harga barangan.

Maka itu tegasnya, anak muda tidak harus dibiarkan terkontang-kanting menjalani kehidupan ketika krisis ekonomi dan kesihatan terus menghimpit mereka.