Malaysia Dateline

Kerajaan jangan peluk tubuh edar segera 150,000 komputer yang dijanjikan

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong menggesa agar kerajaan segera mengambil tiga langkah kecemasan untuk menangani masalah para pelajar yang ketiadaan peranti untuk proses pembelajaran.

Antara langkah berkenaan kata Steven, kerajaan perlu segera mengedarkan 150,000 komputer riba seperti yang dijanjikan dalam Belanjawan 2021.

Ini katanya, berikutan laporan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) pada April 2020 yang mendapati bahawa hampir 40 peratus pelajar di Malaysia tiada sebarang peranti untuk mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Saya menerima pelbagai aduan tentang perkara ini daripada orang awam yang terpaksa membeli peranti untuk anak-anak mereka

“Saya menggesa kerajaan untuk memberikan pelepasan cukai pendapatan bagi pembelian komputer dan alat bantuan sepanjang PdP atas talian untuk dua orang anak setiap isi rumah.

“Saya telah mengemukakan cadangan ini dalam perbahasan Belanjawan 2021 pada tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu Steven berkata, langkah kecemasan terakhir adalah menjamin bekalan peranti seperti komputer peribadi (PC), komputer riba, tablet dan sebagainya dijual dengan harga mampu milik dan mempunyai kualiti yang baik.

Menurutnya, krisis pendidikan akan memberikan kesan parut (scarring) bukan sahaja kepada anak-anak malah kepada masyarakat secara amnya di masa hadapan.

Justeru tegasnya, kerajaan tidak boleh terus berpeluk tubuh menghitung hari demi hari berlalu di kala anak-anak tidak dapat meneruskan pendidikan secara normal.