Kerajaan Johor akan perkenal insentif khusus kepada pelabur asing di daerah utara

Kerajaan Johor akan perkenal insentif khusus kepada pelabur asing di daerah utara

Kerajaan negeri bercadang memperkenalkan insentif baharu khusus kepada pelabur asing yang berminat melabur di kawasan utara Johor.

Menteri Besar Datuk Osman Sapian berkata insentif itu berkemungkinan merangkumi pengecualian cukai selama lima tahun sebagai galakan kepada pelabur asing untuk melabur di daerah itu memandangkan sebahagiannya kurang mendapat perhatian pelabur berbanding di kawasan selatan negeri.

Bagaimanapun, maklumat lengkap mengenai insentif itu belum dimuktamadkan kerana perlu mengambil kira pandangan anggota Majlis Tindakan Ekonomi Negeri yang baru ditubuhkan kerajaan negeri.

“Saya jangka ia boleh siap dalam tempoh sebulan ini. Ia (insentif) merupakan galakan untuk mereka (pelabur asing) ke sana (daerah utara Johor) tetapi mereka juga diberikan syarat-syarat lain, contohnya mesti mencari pekerja dalam kalangan anak tempatan dan memberi gaji tidak kurang daripada RM1,500.

“Kalau ini boleh dilaksanakan maka ia (insentif) akan sah,” katanya pada sidang media selepas melawat syarikat berkaitan kerajaan negeri, YPJ Holdings Sdn Bhd di Wisma YPJ hari ini.

Menurut Osman, insentif itu bukan sahaja bertujuan membangunkan kawasan utara, malah dilaksanakan untuk mengurangkan penghijrahan penduduk ke kawasan Johor Bahru.

“Kalau tengok daripada segi perangkaan, terdapat pengurangan penduduk di daerah-daerah itu. Sebab apa, kerana ketiadaan peluang pekerjaan,” katanya.

Mengenai lawatannya ke YPJ, Osman berkata beliau menyarankan YPJ menceburi bidang-bidang baharu supaya kekal berupaya menjana keuntungan tanpa perlu bergantung hanya kepada pendapatan daripada sektor hakiki seperti perladangan.

Katanya, antara sektor yang boleh dipertimbang ialah mengusahakan secara komersial penanaman herba seperti serai, halia, lengkuas dan kunyit di tanah milik YPJ untuk dieksport.

Selain itu, YPJ disaran mengambil peluang daripada perancangan kerajaan negeri untuk membangunkan beberapa daerah seperti Mersing sebagai bandar pelancongan dan Segamat sebagai kawasan pertanian.

“Kita perlu memikirkan idea dan hala tuju baharu untuk mendapatkan keuntungan kerana cabaran-cabaran pada masa mendatang ini amat kuat terutamanya apabila YPJ mempunyai beribu-ribu ladang kelapa sawit, tetapi tidak mendapat keuntungan sepatutnya kerana harga sawit menurun.

“Tahun lepas YPJ mendapat keuntungan RM17 juta daripada perladangan. Sepatutnya lebih kerana jika mengikut rekod lepas, keuntungan adalah menjangkau RM40 hingga RM50 juta,” katanya.

— BERNAMA