Malaysia Dateline

Kerajaan Johor bertukar kepimpinan 28 Adun sokong gabungan baharu

Sultan Johor Sultan Ibrahim berpuas hati dengan gabungan parti baharu yang ditubuhkan di negeri itu yang mana telah membentuk kerajaan, dengan sokongan 28 Adun memilih gabungan baharu berbanding 26 Adun memilih Pakatan Harapan.

Menurut Setiausaha Sulit baginda, Datuk Jaba Mohd Noah, Sultan Ibrahim sebelum itu telah memanggil 56 Adun untuk ditemubual, semalam.

“Oleh itu Gabungan parti yang baharu berhak untuk memberikan cadangan nama calon Menteri Besar, sebelum susunan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang baharu dilantik.

“Duli Yang Maha Mulia Tuanku berharap agar pentadbiran kerajaan Negeri Johor segera dibentuk bagi memastikan pembangunan negeri berjalan lancar demi kemajuan dan kesejahteraan hidup semua rakyat Johor Darul Takzim,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, daripada jumlah tersebut dua Adun iaitu Simpang Jeram dan Puteri Wangsa tidak dapat menghadirkan diri dalam sesi yang berlangsung selama dua jam di Bangunan Sultan Ibrahim, Johor Bahru.