Malaysia Dateline

Kerajaan Johor dicadang sediakan saluran rasmi berpusat untuk insiden Pasir Gudang

Kerajaan Johor dicadang supaya menyediakan saluran rasmi berpusat bagi memudahkan penduduk Pasir Gudang merujuk pelbagai perkara berhubung kejadian sesak nafas dan muntah-muntah dipercayai akibat pencemaran di kawasan itu.

Seorang aktivis masyarakat dan peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata ketiadaan saluran rasmi seumpama itu menyebabkan penduduk atau mangsa yang terjejas sukar mendapat maklumat tepat sekali gus menyukarkan insiden itu diselesaikan secara bersama.

“Tiada saluran rasmi dan disebabkan itu rakyat bertempiaran tidak tahu mahu rujuk kepada siapa, sama ada kepada Menteri Besar, Kementerian Kesihatan atau pun Kementerian Pendidikan,” katanya yang ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Badan Bertindak Penduduk Isu Pencemaran Alam (BBPIPA), di Taman Pasir Putih,  pada Selasa.

Mohd Khairul Azam berkata selain mendengar masalah yang dikemukakan BBPIPA itu, beliau dan beberapa pihak lain akan turut menggerakkan dron untuk meninjau keadaan di sekitar Pasir Gudang termasuk Sungai Kim Kim dan sungai sekitarnya serta kilang-kilang haram.

Beliau berkata sampel air di Sungai Kim Kim dan beberapa sungai lain akan diambil untuk dianalisis di makmal swasta bagi mengetahui kandungannya.

“Hasil dapatan daripada sungai yang dianalisis itu dijangka akan dikeluarkan dalam tempoh sebulan dan kami akan mengadakan sidang media mengenainya selepas ini,” katanya.   – BERNAMA