Malaysia Dateline

Kerajaan Johor diminta kreatif, jangan tunggu bantuan pusat sahaja

Kerajaan negeri Johor diminta lebih kreatif dan bukan menunggu bantuan Kerajaan Pusat sahaja dalam memberikan bantuan kepada rakyat di negeri itu ketika bencana Covid 19 yang sedang melanda di negeri ini, kata penganalisis.

Menurut Pemikir Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain, kerajaan Johor perlu memberi respon segera bantuan berbentuk dana bagi membantu rakyat kebanyakkan yang terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa 18 Mac 2020 yang lalu.

Menurutnya lagi, kerajaan Johor dilihat lemah dalam mengendalikan soal peruntukkan dan hanya mengharapkan bantuan dari pada Kerajaan Pusat semata-mata.

“Keadaan amat membimbangkan kerana ada di kalangan rakyat yang tercicir akibat PKP yang dijalankan oleh kerajaan.

“Kita khuatir rakyat kebanyakkan terutamanya golongan B40 dan mereka yang berpendapatan dari perniagaan kecil-kecilan akan mendapat susah akibat dari keadaan yang berlaku sekarang ini.

“Kita akui kos sara hidup di kawasan bandar seperti Johor Bahru dan beberapa bandar di sekitar Johor amat tinggi. Ini bakal mengundang musibah kepada golongan yang terjejas ini dalam menyara kehidupan mereka sepanjang tempoh PKP ini,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut perkara itu, beliau turut berpendapat bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh Adun Kota Iskandar, Sr Dzulkefly Ahmad boleh dipertimbangkan dengan baik oleh kerajaan Johor.

Beliau turut menerima pandangan Dzulkefly itu dan memohon pihak kerajaan Johor untuk menyegerakan pelan tindakan rangsangan ekonomi dengan kadar yang segera.

“Tindakan ini perlu disegerakan dan melalui maklumat yang diperolehi terdapat keluarga yang mula mengeluh dengan keadaan kesempitan ini.

“Mengapa kerajaan Johor dilihat seperti menyembunyi fakta berkenaan dengan Rizab Tunai yang berjumlah RM 3.068 billion itu. Seharusnya dana itu perlu dikeluarkan bagi membantu golongan yang terjejas pada waktu ini.

“Kerajaan Johor harus cakna dalam membantu rakyat keseluruhan bukan hanya memikirkan tentang kuasa dan tidak mahu mengambil berat soal keperluan rakyat ketika bencana menimpa mereka sekarang ini,” katanya lagi.

Zuhan sebelum ini turut menyatakan bahawa saluran peruntukkan sebanyak RM 20,000 kepada setiap Dun tidak mencukupi apatah lagi Dun yang mempunyai populasi penduduk yang ramai.