Kerajaan Johor komited selesaikan isu perobohan kediaman enam kampong

Kerajaan Johor komited selesaikan isu perobohan  kediaman enam kampong

Kerajaan Negeri Johor melalui Exco Perumahan Komunikasi dan Multimedia, Dzulkefly Ahmad komited untuk menyelesaikan permasalahan enam kampung yang menjadi isu perobohan kediaman sebelum ini.

Enam kampung yang terbabit adalah, Kampung Teluk Serdang, Kampung Teluk Serdang Baru, Kampung Sungai Perling, Kampung Sungai Perling Baru, Kampung Bakar Batu Perling dan Kampung Tuah Jaya yang kesemuanya berada di kawasan Johor Bahru.

Menurut beliau, selepas perbincangan dengan pemaju Nodedua Sdn Bhd dan penduduk kampung beliau menyatakan tidak akan ada lagi perobohan rumah sehingga perbincangan dengan pihak pemaju mendapat kata putus.

“Sehingga kini perbincangan masih berlangsung dan kita telah memastikan bahawa tidak akan ada perobohan di keenam kampung tersebut sehingga kata putus diterima oleh pihak kerajaan dan penduduk kampung.

“Selain itu, Exco Perumahan sedang berusaha untuk menempatkan penduduk² di enam buah kg tersebut seramai lebih kurang 800 keluarga di lokasi pembangunan rumah mampu biaya (RMB) didalam pelan kelulusan merancang (KM) yang telah dipohon oleh pihak Nodedua sdn bhd. dan telah diluluskan oleh MBJB/MBIP pada tahun 2017”

“Kita akan memastikan keadaan ‘menang menang’ di antara pemaju dan penduduk akan diputuskan dalam perbincangan kelak.

“Untuk rekod perbincangan yang pertama telah dijalankan pada 6 Ogos yang lalu dan kata putus yang awal adalah pemaju akan membayar pampasan dan kerjasama dengan kerajaan negeri bagi mencari penyelesaian bersifat menang-menang terhadap penempatan awam kampung tersebut.

Abdul Wahab Abdullah

Sehubungan itu, beliau turut merakam penghargaan kepada pihak pemaju kerana berkerjasama dengan kerajaan serta penduduk untuk tidak merobohkan dahulu rumah yang berada di enam kampung tersebut.

Dalam pada masa yang sama, penduduk Kampung Bakar Batu, Abdul Wahab Abdullah, 70, bersyukur kerana kerajaan di bawah Exco Perumahan telah bertindak dengan efektif untuk memperjuangkan nasib penduduk kampung.

“Saya rasa memuaskan kerana beliau dilihat bersungguh-sungguh memperjuangkan nasib penduduk kampung di sini.

“Beliau turut menahan pihak pemaju dari terus merobohkan rumah di sini serta beberapa kampung yang terbabit. Tak terbalas budi beliau kerana berusaha sedaya upaya untuk mempertahankan kampung ini dan saya ucapkan terima kasih kepada beliau.

“Sebelum ini pihak pemaju tidak ada perbincangan dengan pihak kami jadi apa yang berlaku adalah diluar jangkaan kami. Apabila kerajaan masuk campur dalam urusan ini ia dilihat sebagai suatu perkara yang melegakan penduduk kampung,” katanya ketika ditemui di kampung beliau.

Isu keenam kampung ini telah mendapat perhatian sebelum ini kerana terdapat perobohan yang berlaku sehingga membabitkan seorang mangsa yang kini tidak mempunyai kediaman selepas rumah beliau dirobohkan pada 24 Julai yang lalu.