Malaysia Dateline

Kerajaan Johor rancang tubuh jawatankuasa khas kawal kemasukan pendatang asing

Kerajaan negeri Johor merancang menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengawal ‘kebanjiran’ dan kemasukan pendatang asing yang mencari rezeki di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Aminolhuda Hassan berkata kebanjiran warga asing ke Johor terutamanya yang mencari rezeki semakin bertambah setiap tahun, dibimbangi menutup ruang warga tempatan untuk bekerja dalam sektor tertentu.

“Buat masa ini, setelah pemerhatian dilakukan terdapat empat jenis warga asing yang datang untuk bekerja di sini. Pertamanya yang masuk secara sah, kedua yang menggunakan pas pelajar, ketiga yang menggunakan pas pelancong dan yang terakhir adalah yang masuk secara haram,” katanya.

Bercakap kepada pemberita ketika ditemui di majlis Ziarah Kasih Ramadan dan Iftar Bersama Ketua Kampung Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Ya’ani di Masjid Felcra Sri Wangi, di sini, malam tadi Aminolhuda berkata, faktor utama kedatangan warga asing berkenaan untuk bekerja di Johor adalah kerana terdapat banyak ruang dan peluang mencari rezeki berbanding negara asal mereka.

Beliau berkata banyak laluan masuk ke negeri ini terutamanya jalan laut yang lebih terbuka berbanding jalan darat dan udara juga menjadi faktor kedatangan pendatang asing.- BERNAMA