Malaysia Dateline

Kerajaan Johor tak fokus permasalahan ekonomi rakyat

Kerajaan negeri Johor tidak dilihat sebagai sebuah kerajaan yang menumpukan kepada permasalahan ekonomi yang dihadapi rakyat dalam pasca Covid-19 di negeri ini.

Menurut Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Johor, Aminolhuda Hassan berkata, dalam Belanjawan Johor 2020 yang dibentangkan November 2019 yang lalu, tumpuan pendapatan negeri adalah daripada program serta rancangan yang disediakan.

Katanya, program serta rancangan tersebut tidak dapat dilunaskan akibat wabak Covid-19 yang melanda di seluruh dunia termasuk negeri Johor.

“Perkara ini perlu dilihat oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana sehingga hari ini kita masih tidak dapat melihat rancangan yang mampan dalam usaha membentuk semula ekonomi negeri ini.

“Sebelum ini kerajaan Pakatan Harapan (PH) Johor dalam Belanjawan 2020 yang lalu telah membentangkan beberapa kaedah perolehan kepada negeri melalui program-program berskala besar seperti Tahun Melawat Johor (TMJ 2020), Sukma dan sebagainya.

“Kita maklum bahawa perkara itu tidak dapat dilaksanakan akibat serangan wabak Covid-19 di seluruh dunia yang membantutkan beberapa industri seperti pelancongan, perumahan, ekonomi dan sebagainya.

“Kerajaan PN perlu segera mengadakan rangsangan tersebut bagi kesinambungan perolehan serta ekonomi negeri agar ia mampu bergerak terus seiring dengan kehendak rakyat,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Beliau yang merupakan Adun Parit Yaani berkata, selain pendapatan kepada hasil negeri, kerajaan juga disarankan untuk memberi tumpuan kepada tahap ekonomi rakyat yang terkesan teruk akibat Covid-19.

Katanya lagi, kesan tersebut akan membuatkan rakyat terpaksa hidup dalam keadaan tertekan sehingga akan mendatangkan perkara yang negatif sekiranya ia tidak dapat diselesaikan.

“Dari segi pelaburan pula, kerajaan harus lebih proaktif untuk menyakinkan pelabur untuk melabur dalam negeri ini dengan membuka peluang industri-industri luar mengusahakan produk mereka ke dalam negeri ini.

“Kita maklum Covid-19 ini melibatkan seluruh dunia namun antara cara lain bagi mengendalikan ekonomi negeri dengan baik adalah membuka peluang seterusnya kepada industri untuk beroperasi di negeri ini sekaligus ia akan memberi peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan,” ujarnya lagi.

Tambahnya, sepertimana yang diketahui, peningkatan pengangguran rakyat dalam negeri ini kian meningkat akibat pembuangan kerja dari sektor-sektor tertentu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilancarkan Mac yang lalu.