Kerajaan Johor tidak pinggir masyarakat India terutama golongan B40

Kerajaan Johor tidak pinggir masyarakat India terutama golongan B40

Kerajaan Johor tidak sesekali meminggirkan masyarakat India di negeri ini terutamanya golongan B40.

Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri, Dr S.Ramakrishnan berkata dakwaan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kahang R.Vidyananthan kononnya kerajaan negeri mengabaikan masyarakat itu adalah tidak betul dan cuba mengelirukan masyarakat.

“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak seperti Barisan Nasional (BN) yang memberikan bantuan berasaskan kaum. Kita (PH) tidak begitu, kita berasaskan keperluan semua bangsa,” katanya ditemui pemberita di luar Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di sini hari ini.

Semalam, Vidyananthan dari BN yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia Johor pada sesi perbahasan Persidangan DUN Johor mempersoalkan peruntukan bagi masyarakat India yang diumumkan pada pembentangan Belanjawan Johor 2019, Khamis lepas, berkurangan kepada RM3 juta berbanding RM8 juta menerusi Bajet 2018.

Daripada RM3 juta tersebut, RM1 juta daripadanya adalah bagi bantuan kebajikan, RM500,000 bagi program keusahawanan dan RM1.5 juta untuk membaik pulih Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Ramakrishnan berkata peruntukan kepada masyarakat India berkurangan berikutan kerajaan negeri mengambil pendekatan berhati-hati ekoran keadaan ekonomi yang tidak menentu.

“Bagaimanapun, sejumlah RM5 juta turut diperuntukkan kepada Unit Strategik Modal Insan yang mana RM1.5 juta daripadanya untuk masyarakat India meningkatkan kemahiran.

“Bakinya adalah untuk masyarakat FELDA dan orang awam meningkatkan kemahiran menerusi pelbagai program termasuk Azam Kerja yang turut boleh direbut oleh semua kaum termasuk masyarakat India.

Loading...

“Jadi, jangan kelirukan masyarakat khususnya golongan B40,” katanya.

— BERNAMA