Malaysia Dateline

Kerajaan kaji cadangan seragam tarif elektrik bangunan sekolah dan kerajaan

Kerajaan akan mengkaji cadangan menyeragamkan kadar tarif elektrik bagi bangunan sekolah dan kerajaan, kata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.

Beliau berkata ketika ini, kadar elektrik ditentukan setiap tiga tahun dengan kadar di Semenanjung  Malaysia menggunakan mekanisme Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR).

Katanya, kerangka IBR itu digunakan dengan mengambil kira dana yang telah dilabur dan perbelanjaan operasi bagi memenuhi permintaan elektrik di seluruh Semenanjung.

“Kalau tukar tarif elektrik sekarang akan ada pengguna lain yang dikenakan subsidi bersilang,” katanya ketika menggulung perbahasan peringkat dasar Belanjawan 2019 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab celahan Datuk Seri Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) mengenai terdapat sekolah yang mengadu dikenakan tarif yang sama dengan bangunan komersil.

Yeo berkata pada masa ini, kementeriannya sudah berbincang dengan Kementerian Pendidikan supaya semua sekolah melaksanakan projek kecekapan tenaga bagi menurunkan kadar bil elektrik.

Menurutnya, Suruhanjaya Tenaga menerusi program Energy Efficiency Challenge (EEC) yang diadakan di peringkat sekolah, berjaya meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga di 54 buah sekolah.

“Terdapat pengurangan 10 peratus (penggunaan tenaga elektrik) menerusi EEC ini dan ia berjaya jimat kira-kira RM390,000,” katanya.

— BERNAMA